Maggie Cheung pernah menjadi pesohor dalam industri seni Hong Kong dan membawa pulang pelbagai pengiktirafan sepanjang bergelar aktres.
Namun, pemenang aktres Asia pertama yang memenangi anugerah Best Actress Award di Cannes Film Festival menerusi penampilan dalam filem Clean pada tahun 2004 itu memilih untuk bersara.
Advertisement
Cheung meninggalkan dunia seni pada tahun 2012 dan sejak itu memilih kehidupan sederhana termasuk berpindah ke Perancis.
Bintang yang kini berusia 61 tahun itu juga dilihat menjalani kehidupan harian yang cukup tenang dan jauh daripada dunia glamor.
Menerusi perkongsian di media sosial, bintang Police Story itu memperlihatkan aktiviti hariannya.
Ini termasuklah aktiviti berkebun dan membela ayam.
“Saya berasa gembira setiap kali mengutip telur ayam. Saya rasa sangat bersyukur,” katanya seperti dilaporkan VnExpressInternational.
Sumber dari Weibo pula mendedahkan Cheung juga menjalani kehidupan sederhana dengan menyewa rumah, memandu trak lama untuk mengutip sayur organik serta membawa bakul rotan dan bukannya beg jenama mewah sambil berbasikal di sekeliling kampung.
Akhbar tempatan, Mingpao pula menyatakan Cheung menghabiskan masanya antara duduk di Eropah dan Hong Kong.
Pelakon Center Stage dan In The Mood For Love itu mengejutkan peminatnya baru-baru ini apabila menyertai platform media sosial Xiaohongshu (Rednote). Penampilannya dipuji sebagai masih menawan dan elegan biar sudah melewati usia 60 tahun.