Sekilas
- Yassin Yahya dari kumpulan Senario berkongsi pengalaman dan pengajaran selepas penahanannya di Jeddah pada Oktober tahun lalu.
- Dia menghargai sokongan ahli kumpulan Senario yang menjaga privasi dan memberi ruang untuknya jelaskan sendiri kejadian tersebut.
- Yassin mengesahkan urusan dengan pihak berkuasa Arab Saudi sudah selesai dan dia bersedia untuk kembali ke sana bersama keluarga dan rakan kumpulan.
Anggota kumpulan Senario, Yassin Yahya berkongsi mengenai perkembangan terkini selepas kontroversi mengenai penahannya di Jeddah pada Oktober tahun lalu.
Menurut Yassin, dia menganggap kejadian tersebut sebagai satu bentuk perjalanan yang mengajarnya mengenai erti kehidupan.
“Alhamdulillah saya okay malahan saya bersyukur dengan apa yang telah saya lalui.
“Pada saya apa yang berlaku hanyalah satu bentuk perjalanan hidup.
“Setiap orang ada silap dan saya akan terus belajar,” katanya kepada Gempak.
Malah, Yassin juga meluahkan rasa terharu dengan sikap ambil berat ahli kumpulan Senario yang lain sepanjang tempoh penahanan di sana.
“Saya sangat terharu dengan abang-abang dalam Senario yang sangat ambil berat tentang saya.
“Mereka juga sejenis yang kalau boleh tutup sesuatu cerita, mereka akan tutup dan cuba mengelak (membuka cerita sebenar) sebab bukan hal mereka.
“Mereka mahu saya jelaskan sendiri apa yang berlaku, ‘Kau buat jadi kau jawab’. Begitulah kami yang dah macam adik-beradik hampir 30 tahun,” kongsinya.
Yassin berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media konsert The Last Kopek Senariounion 30 Tahun bertempat di Sunway Putra Hotel, pada Selasa.
Ketika ditanya adakah dirinya trauma dengan apa yang berlaku, Yassin percaya pengalaman itu mengajarnya untuk menjadi lebih kuat.
“Bercakap soal trauma, perkara itu tidak ada dalam kamus hidup saya sebenarnya.
“Tambahan pula saya pernah melalui dengan bermacam-macam perkara sebelum ini jadi perkara itu mengajar saya jadi lebih kuat dalam menempuh ujian akan datang.
“Tetapi saya tak boleh nak riak dengan kata-kata saya sebab kita tak pernah tahu perjalanan akan datang itu bagaimana. Mungkin Allah nak uji kita, siapa tahu?,” ujarnya.
Bercakap mengenai proses keluar masuk, Yassin menjelaskan bahawa segala urusannya bersama pihak berkuasa di sana sudah selesai.
Malah, dia tidak mempunyai masalah untuk masuk semula ke sana pada bila-bila masa.
“Sebarang urusan saya dengan pihak sana dah selesai dan tiada sebarang masalah. Kalau saya nak datang semula nanti pun boleh.
“Cuma kalau boleh selepas ini saya nak masuk dengan hasil titik peluk saya sendiri sebab tempoh hari saya datang kerana ditaja.
“Dan kalau boleh saya nak datang bersama dengan keluarga serta ahli kumpulan Senario yang lain,” kongsinya.
Terdahulu, kecoh mengenai penahanan seorang pelawak ditahan di Jeddah, Arab Saudi sejak Oktober tahun lalu.
Selepas hampir enam bulan identiti itu tidak didedahkan, Yassin kemudiannya membuat pengakuan bahawa dirinya telah ditahan dalam satu sesi podcast bersama selebriti versatil, Saiful Apek.
Perjelas Yassin, dia ditahan di balai polis selama 10 hari sebelum dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November tahun lalu.
Yassin kemudiannya dibicarakan secara atas talian pada 19 November dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan.