Sekilas
- Rapper terkenal ASAP Rocky telah membayar sewa seluruh penduduk sebuah flat di Harlem kerana neneknya enggan berpindah.
- ASAP Rocky melakukan ini kerana prihatin terhadap golongan rentan di kawasan tersebut yang kurang diberi perhatian oleh pihak berkuasa.
- Beliau berasal dari latar belakang miskin dan kini memiliki aset dianggarkan RM130 juta serta aktif dalam muzik dan industri fesyen.
Ada pepatah mengatakan jangan suka menilai orang daripada luaran. Perumpaan itu sangat sesuai untuk mengambarkan sikap baik hati rapper A$AP.
Dalam satu temu bual, ASAP Rocky atau nama sebenar Rakim Athelston Mayers mendedahkan telah membayar sewa seluruh penduduk di sebuah flat di Harlem kerana neneknya enggan berpindah ke tempat lain.
Harlem terletak di bahagian utara daerah Manhattan dalam Bandar Raya New York, Amerika Syarikat.
“Nenek saya masih tinggal di sebuah flat si Harlem. Oleh kerana dia enggan berpindah ke tempat lain, saya bayarkan sewa seluruh penyewa di situ.
“Ya, satu bangunan (bayar sewa). Saya hanya mahu melakukan perkara itu,” ujar ASAP seperti dipaparkan dalam Instagram hiphop_firstnewsmusic.
Menurut pasangan Rihanna itu, dia berbuat demikian kerana berasa ada dalam golongan rentan di kawasan tersebut terpinggir dan kurang diberi perhatian oleh datuk bandar.
ASAP, 37, diketahui hidup dalam keadaan sangat miskin sehingga pernah tinggal di pusat perlindungan gelandangan bersama ibu dan adiknya.
Tragedi kematian abangnya mendorong dia untuk keluar daripada kancah kemiskinan dengan memberi tumpuan serius terhadap muzik rap.
ASAP yang cukup terkenal menerusi lagu seperti Sundress dan Everyday dianggarkan memiliki aset sebanyak RM130 juta.
Selain aktif sebagai penyanyi, dia juga cukup popular dalam industri fesyen dan sering dikaitkan dengan kempen busana dunia seperti Chanel dan Gucci.