Sekilas
- Pelakon Datin Lisa Surihani berkongsi pengalaman membawa watak Tun Dr. Hasmah dalam pementasan teater muzikal 14 tahun lalu yang memerlukan kajian mendalam tentang perwatakan dan perjalanan hidup Allahyarhamah.
- Lisa memuji sifat keibuan dan kekuatan Tun Dr. Hasmah serta peranannya sebagai tokoh wanita, isteri, ibu, dan individu yang sangat mementingkan kemanusiaan.
- Lisa bersyukur berpeluang bertemu dan mendapat restu daripada Allahyarhamah, menjadikan pengalaman melakonkan watak tersebut satu penghormatan besar dalam hidupnya.
Pelakon Datin Lisa Surihani mengimbau pengalaman membawa watak YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali menerusi sebuah pementasan teater muzikal kira-kira 14 tahun lalu yang disifatkannya sebagai satu penghormatan besar.
Menurut Lisa, tanggungjawab tersebut menuntutnya melakukan kajian mendalam mengenai perwatakan Allahyarhamah termasuk bahasa badan, cara pertuturan serta perjalanan hidupnya sejak zaman muda.
“Berdasarkan kerja saya sebagai pelakon teater untuk pementasan teater muzikal Tun Dr. Siti Hasmah 14 tahun lalu, antara ‘homework’ yang kami kena buat adalah mempelajari perwatakan Tun.
“Dari segi bahasa badan, ‘body language’ dan pertuturan dia. Kita juga belajar mengenai penceritaan nostalgia beliau,” katanya.
Lisa berkata, pementasan tersebut menyentuh perjalanan Allahyarhamah ketika menuntut di King Edward VII College sebagai pelajar perubatan sehingga membina kerjaya dalam bidang kesihatan.
Baginya, antara sifat paling melekat dalam ingatan adalah cara Allahyarhamah membawa diri dengan penuh kekuatan namun tetap memiliki sisi keibuan.
“Ada sebab mengapa beliau dikenali sebagai Bonda Malaysia.
“Cara beliau sangat keibuan. Beliau secara keseluruhannya merupakan lambang kekuatan dan keanggunan,” ujarnya.
Selain itu, Lisa turut kagum dengan kemampuan Tun Dr. Hasmah menjalankan pelbagai peranan dalam kehidupan dengan baik termasuk sebagai tokoh wanita, isteri, ibu serta individu yang sangat mementingkan aspek kemanusiaan.
“Beliau menjadi contoh dan inspirasi kepada kami semua. Sangat sukar untuk tidak mengagumi beliau.
“Saya rasa ia adalah gabungan banyak sebab,” katanya.
Mengimbau pengalamannya sewaktu pementasan tersebut, Lisa bersyukur apabila diberi peluang bertemu Allahyarhamah sebanyak dua kali termasuk ketika sesi fotografi.
Malah, Allahyarhamah yang juga penaung kepada pementasan tersebut sempat memberikan restu, semangat dan nasihat kepada barisan produksi.
“Beliau sangat bersahaja, sangat bijak dan sangat lucu.
“Aura, personaliti dan kehangatan yang keluar daripada beliau membuatkan kita rasa sangat kagum,” katanya.
Lisa menyifatkan peluang melakonkan watak Allahyarhamah serta bertemu sendiri dengan individu yang dilakonkan itu sebagai pengalaman yang tidak mungkin dilupakan.
“Walaupun sekali sahaja saya dapat melakonkan watak tersebut, ia adalah penghormatan yang sebenar.
“Untuk dapat melihat orang yang saya lakonkan wataknya itu, ia adalah satu penghormatan. Alhamdulillah,” ujarnya.
YABhg. Tun Dr. Hasmah binti Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun pada 16 Rabiulakhir 1448H.