Sekilas
- Alya Iman berjaya turunkan 15 kilogram dalam masa lima hingga enam bulan dengan rutin gim dan kawal pemakanan.
- Dia mahu kurus bukan sebab tuntutan kerja, tapi untuk jadi lebih sihat dan cuba lakon aksi.
- Alya pernah alami body shaming dalam industri, dan berharap mentaliti tentang bentuk badan heroin boleh berubah.
Dari berat 70 kilogram, pelakon Alya Iman berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh lima ke enam bulan.
Setiap hari bersenam di gimnasium dan jaga makan, Alya memberitahu dia perlu kurus untuk menjadi lebih sihat dan mahu mencuba lakon aksi selepas ini jika diberi rezeki.
“Alhamdulillah, saya berjaya turun sebanyak 15 kilogram dalam masa lima bulan. Saya memang tak kerja, duduk rumah pergi gym hari-hari, jaga makan dan saya ada masuk kelas martial art.
“Cuma buat masa ini saya tak berapa nak sihat sangat, jadi saya berhenti sekejap pergi gym untuk berehat. Saya memang nak kurus… bukan sebab tuntut kerja.
“Sebagai seorang pelakon, yela kena la kurus kan. Tapi saya nak kurus memang sebab diri sendiri. Nak jadi lebih sihat, nak cuba lakon aksi,” kata Alya kepada Gempak.
Alya ditemui ketika hadir ke The Power Play Tournament 2025 yang dianjurkan oleh The Germany United di Tomaz Pickleball, Subang, pada Isnin.
Dalam pada itu, Alya mendedahkan dia pernah menjadi mangsa ‘body shaming’ ketika menjalani sebuah penggambaran.
“Ada beberapa orang yang tegur saya cakap ‘awak ini heroin, mana boleh gemuk, kenalah kurus’. Orang dalam industri, bukan seorang tapi ramai juga la.
“Saya ada juga terasa hati dengan teguran itu, kita pun manusia kan. Mungkin kalau nak tegur tu kena baik sikit la. Ada la masa tengah shooting, dia cakap ‘you heroin, tengok la supporting you lagi kurus daripada you’.
“Tapi itulah mentaliti kita, sedangkan dekat luar sana ada saja heroin yang berbadan berisi. Mungkin kita punya mentaliti kena berubah la,” ujarnya.