Pempengaruh, Ryzal Ibrahim tidak bersetuju dengan pandangan seorang individu yang menyatakan jika mahu mencari lelaki 'Green Flag' harus melihat berdasarkan jam tangan yang dipakai.
Menerusi hantaran balas kepada individu tersebut di Threads, Ryzal menganggap pandangan tersebut terlalu keras dan bersifat materialistik untuk dijadikan ukuran dalam memilih pasangan hidup.
“Maaf, bagi saya tips ini agak keterlaluan untuk dijadikan permulaan. Isteri saya dahulu keluar berjanji temu dengan saya ketika saya hanya memakai jam RM30 jenis ‘lighter slide’ di tangan, waktu saya masih merokok. Jam yang sangat kelakar untuk permulaan.
“Bertahun kemudian, saya memiliki jam Daytona, tetapi isteri saya masih tidak pernah mengambil berat tentang perkara itu,” katanya.
Tambah Ryzal, seseorang tidak seharusnya memilih pasangan hidup berdasarkan barangan material atau jenama semata-mata kerana nilai tersebut boleh berubah mengikut keadaan hidup.
“Jangan sesekali memilih pasangan hidup berdasarkan harta atau jenama. Pilihlah seseorang yang ikhlas menerima kelemahan kita dan percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang,” tambahnya. 
Menjengah ke ruangan komen rata-rata ramai yang bersetuju dengan kenyataan yang diberikan oleh Ryzal.
Bagaimanapun, ada beberapa individu yang mengkritik kerana suami kepada Maryam itu berkongsi gambar isterinya ketika tidak berhijab.