Penyanyi dan juga ahli kumpulan Alpha, Afiq Sky mendedahkan dirinya pernah melalui pengalaman pahit apabila menjadi mangsa buli sewaktu di bangku sekolah rendah.
Menurut Afiq, pengalaman itu meninggalkan kesan yang mendalam namun dia bersyukur kerana akhirnya dia sendiri berjaya atasinya.
“Kalau nak berkongsi pasal kena buli, saya pernah kena sewaktu sekolah rendah. Dulu saya pernah kena pukul dengan rakan sekelas dan pernah mereka Sellotape mata dan mulut saya.
“Di sekolah juga saya pernah menerima gelaran gemok pendek daripada mereka,itu antara yang saya pernah kena sewaktu di sekolah dulu.
“Tapi saya bersyukur sebab saya dapat atasi mereka kerana sampai satu tahap saya rasa mahu melawan mereka kembali,” katanya.
Afiq turut menitipkan pesanan buat mangsa buli di luar sana agar jangan sesekali berdiam diri.
“Bagi saya untuk mangsa buli di luar sana anda kena berani bersuara kerana kita tak mahu sesuatu yang buruk terjadi kepada diri anda.
“Sebab kalau kita tengok buli ini bukan satu perkara yang kecik dia dah menjadi satu kes jenayah yang berat jadi anda dekat luar sana yang kena buli kena berani,” ujarnya.