Sekilas
- Dynas Mokhtar pernah dimasukkan ke hospital selama seminggu akibat mencuba kaedah penurunan berat badan yang tidak sesuai dengan tekanan darah rendahnya.
- Beliau berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram dalam tempoh setahun melalui pemakanan teratur dan kaedah intermittent fasting selepas mendapatkan nasihat doktor.
- Perubahan berat badan Dynas juga didorong oleh kesakitan buku lali akibat kecederaan lama yang terjejas apabila berat badannya bertambah.
Pelakon Dynas Mokhtar mendedahkan pernah dimasukkan ke hospital selama seminggu selepas mencuba kaedah menurunkan berat badan secara pantas yang tidak sesuai dengan keadaan kesihatannya.
Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 43, berkata, pengalaman tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati dalam memilih kaedah untuk mendapatkan berat badan ideal.
Menurut Dynas, dia mempunyai masalah tekanan darah rendah, sekali gus menyebabkan dirinya tidak boleh sewenang-wenangnya mencuba kaedah penurunan berat badan tertentu.
“Saya kalau boleh nak elakkan benda-benda yang macam melalui jalan pintas sebab saya tidak boleh, saya ada tekanan darah yang rendah.
“Saya pernah cuba, bukannya tidak pernah. Tetapi saya masuk hospital seminggu sebab tekanan darah saya sangat rendah.
“Jadi, bila saya jumpa doktor, saya cakap dengan doktor, saya tidak mahu buat jalan pintas, saya minta doktor untuk cadangkan sesuatu yang sesuai untuk saya,” katanya kepada Gempak.
Dynas berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran drama ‘Dorm 403’ musim kedua di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dynas berkongsi bahawa dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram, daripada 78 kilogram kepada 60 kilogram dalam tempoh setahun.
Menariknya, keputusan untuk mengubah gaya hidup bermula selepas dia melihat penampilan sendiri ketika membintangi musim pertama drama ‘Dorm 403’.
“Bila saya berlakon dalam musim pertama ‘Dorm 403’, saya tengok di televisyen (TV), saya rasa semua syot saya tak cantik.
“Jadi, dari situ bila saya tengok balik dalam TV, tak bolehlah,” ujarnya.
Bagaimanapun, bukan faktor penampilan semata-mata yang mendorong Dynas untuk menurunkan berat badan.
Pelakon itu turut mengalami kesakitan pada bahagian buku lali ketika bermain pickleball, dipercayai berkaitan kecederaan lama yang pernah dialaminya ketika kecil.
“Selepas itu, bila saya mula main pickleball, buku lali saya sakit. Dulu semasa saya kecil, buku lali saya pernah patah, ketika itu saya 10 atau sembilan tahun.
“Cuma, bila saya berisi itu, dia 'trigger' balik buku lali saya.
“Jadi, bila saya main pickleball, saya rasa macam tidak boleh (main) lama-lama, buku lali saya akan sakit balik. Jadi, saya fikir saya perlu lakukan sesuatu,” katanya.
Susulan itu, Dynas mendapatkan nasihat doktor sebelum mengamalkan pemakanan yang lebih teratur serta kaedah puasa berkala atau intermittent fasting.
Menurutnya, perubahan tersebut dilakukan secara konsisten dan mengambil masa kira-kira setahun untuk mencapai berat badan sekarang.
“Jadi Dr Farah yang periksa, saya punya boleh makan apa dan saya tidak boleh makan apa.
“Jadi, saya buat 'intermittent fasting' tetapi ambil masa setahun juga.
“Lepas puasa tahun lepas, berat badan saya turun mendadak sampai orang ingat saya sakit.
“Tapi berat badan saya turun sikit-sikit sebenarnya, tidaklah mendadak pun, cuma ambil masa satu tahun juga,” jelasnya.
Dynas turut menjelaskan bahawa tanggapan dirinya mengalami masalah kesihatan timbul kerana ada kenalan yang sudah lama tidak bertemu dengannya, lalu terkejut melihat perubahan fizikal tersebut.