Sekilas
- Pelakon Irfan Zaini berkongsi pengalaman sukar apabila hampir setahun duduk di rumah selepas beberapa kali gagal dalam uji bakat lakonan.
- Irfan terharu dengan komen peminat yang menghargai perkembangan kerjayanya dan membuatkan dia menghargai perjalanan seni yang telah dilalui.
- Dia kini semakin dikenali menerusi filem TERBANG yang akan ditayangkan pada 17 September, di mana Irfan memegang watak utama sebagai pelumba rali.
Pelakon Irfan Zaini mengimbau fasa sukar dalam perjalanan kariernya apabila pernah hampir setahun hanya duduk di rumah selepas berkali-kali gagal dalam sesi uji bakat.
Perkongsian tersebut dibuat selepas Irfan tersentuh membaca komen seorang netizen yang memuji perkembangan kerjayanya apabila wajah aktor itu semakin kerap menghiasi layar perak kebelakangan ini.
Menurut Irfan, pengalaman berdepan penolakan berulang kali pernah membuatkannya tertanya-tanya bilakah peluang dan rezekinya dalam bidang lakonan akan tiba.
“Ada masa saya pernah duduk di rumah hampir setahun. Pergi uji bakat tetapi ditolak berkali-kali.
“Ada masa saya sendiri tertanya, bila agaknya rezeki saya akan sampai,” katanya menerusi perkongsian dalam media sosial.
Bagaimanapun, satu komen yang diterimanya baru-baru ini membuatkan Irfan kembali mengenang perjalanan panjang yang dilalui sepanjang membina nama sebagai pelakon.
Katanya, kesibukan mengejar impian membuatkan dia kadangkala terlupa untuk melihat kembali sejauh mana dirinya sudah melangkah.
“Hari ini saya terbaca satu komen. Komen itu buat saya berhenti sekejap dan pandang semula perjalanan saya.
“Selama ini terlalu sibuk mengejar ke depan sampai terlupa sejauh mana saya sudah berjalan,” ujarnya.
Irfan turut meluahkan rasa syukur dengan rezeki yang diterima ketika ini selain menghargai sokongan peminat yang terus mempercayai bakatnya.
“Saya sangat bersyukur. Alhamdulillah.
“Semua ini adalah rezeki dan saya tahu saya takkan sampai ke sini tanpa sokongan anda semua.
“Terima kasih kerana sentiasa percaya,” katanya.

Tidak mahu mudah berpuas hati dengan pencapaian semasa, Irfan berjanji akan terus bekerja keras dan menghasilkan karya terbaik dalam perjalanan seninya.
“Saya janji akan terus berusaha, terus berkarya dan takkan pernah mengalah,” ujarnya.
Nama Irfan kini semakin mendapat perhatian menerusi beberapa projek filem termasuk TERBANG arahan Chiu Keng Guan yang bakal menemui penonton di pawagam pada 17 September depan.
Menerusi filem diinspirasikan daripada perjalanan legenda rali negara, Karamjit Singh itu, Irfan diberikan tanggungjawab menggalas watak utama sebagai pelumba rali.
Sumber: Threads