Isteri kepada pelakon dan pelawak, Johan iaitu Ozlynn Waty mengakui kehidupan mereka suatu ketika dahulu bukanlah mudah apabila suaminya terpaksa bekerja keras mencari rezeki, namun ada kalanya masih tidak mencukupi untuk keperluan harian.
Menurut Ozlynn, antara detik yang tidak dapat dilupakan apabila suaminya pernah memberikan nafkah sebanyak RM1 namun tetap diterimanya dengan hati yang terbuka.
“Hidup dengan suami saya dulu, dia kais pagi makan pagi, kadang-kadang tiada apa nak makan. Tapi sebab kerja saya bagus, dapat tolong suami saya.
“Sampai pernah dia bagi nafkah dekat saya RM1 dan saya terima sambil senyum,” katanya.
Di sebalik senyuman itu, Ozlynn mengakui dirinya sebenarnya menahan perasaan sedih apabila melihat suaminya terpaksa merendahkan diri demi menunaikan tanggungjawab.
Namun, Ozlynn tidak pernah berhenti berdoa agar rezeki suaminya dipermudahkan.
“Dia suruh saya doakan supaya Allah bantu dia. Saya terus masuk bilik air dan menangis sampai sakit tekak. Menangis bukan sebab jumlah nafkah, tapi cara dia rendahkan maruah dia di depan saya dan saya nampak usaha dia cari rezeki.
“Maka saya doa minta Allah bantu, Alhamdulillah sekarang dia senang, dia tak pernah lupakan saya,” ujarnya.
Perkongsian itu dibuat susulan isu yang dibangkitkan oleh seorang individu mengenai nafkah suami kepada isteri.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa kagum terhadap pasangan ini yang setia melalui susah dan senang bersama.