Skip to main content

Hiburan

Pernah Teruk Dikecam, Vanidah Imran Berhati-Hati Bawa Watak Dalam Drama Walid - “Saya Buat Apa Yang Sesuai Dengan…”

Vanidah Imran

Sekilas

  • Vanidah Imran kini lebih berhati-hati dan mengawal ekspresi wajah ketika melakonkan sekuel drama Walid selepas dikecam hebat babak panas dalam drama Bidaah tahun lalu.
  • Dia memilih untuk berdiam diri dan kekal profesional tanpa melayan kecaman netizen, percaya penonton matang dapat membezakan watak dan realiti.
  • Vanidah turut terkilan kerana isu babak tersebut menjadi bualan ramai terutama ketika bulan Ramadan lalu dan mempertikaikan niat penyebaran video itu.

Pelakon, Vanidah Imran memaklumkan dia kini lebih berhati-hati ketika melakonkan babak bagi sekuel drama Bidaah yang berjudul Walid selepas dikecam hebat gara-gara babak panas meletakkan kaki di janggut Faizal Hussein dalam drama tersebut, tahun lalu.

Menurut Vanidah, pengalaman itu juga telah membuatkan dirinya lebih peka terutama sekali dalam aspek ekspresi wajah ketika menjayakan watak.

“Kali ini dalam drama Walid, saya lebih berhati-hati. Ekspresi pun saya kawal. Lepas itu Kak Erma Fatima (penerbit) tegur dengan beritahu ekspresi saya salah. Tapi saya jawab, saya tak kisah.

“Saya buat apa yang saya rasa sesuai dengan watak. Selebihnya saya serahkan kepada proses suntingan. Kalau perlu diubah, sunting sahaja,” katanya kepada Gempak.

Vanidah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Walid bertempat di Saloma, Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika ditanya mengenai kecaman yang diterimanya, pelakon filem Untuk Tiga Hari ini memaklumkan dia lebih memilih untuk berdiam diri kerana merasakan tidak ada keperluan untuknya memberikan respon.

Tegas Vanidah, dia hanya bersikap profesional dan menjalankan tugasnya sebagai seorang pelakon.

“Dulu menerusi drama Bidaah saya dikritik teruk, tetapi saya memilih untuk diam. Saya tidak rasa perlu menjelaskan kerja saya kepada orang. Ini adalah kerja saya sebagai pelakon dan saya tahu apa yang saya lakukan.

“Ini semua sebahagian daripada kerja. Saya tahu siapa diri saya dan bagaimana saya menjaga batas.

“Saya percaya, penonton yang matang akan faham perbezaan antara watak dan realiti.

“Usia saya pun sudah pertengahan. Hendak jelaskan kepada netizen yang muda-muda dan suka menghakimi, silakan. Hendak kata saya buat maksiat atau cakap apa-apa, itu hak mereka,” katanya lagi.

Namun begitu, Vanidah mengakui dia berasa terkilan kerana isu tersebut ditularkan dan menjadi bualan orang ramai ketika bulan Ramadan tahun lalu.

“Saya cuma tertanya, orang pertama yang tularkan perkara ini ketika Ramadan, apa niatnya? Waktu berbuka puasa, jari itu yang digunakan untuk sebarkan.

“Kalau saya pilih untuk tidak memaafkan, itu hak saya. Niat awak apa bila viralkan? Itu sahaja yang saya mahu tahu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial babak panas antara Vanidah dan Faizal dalam drama Bidaah yang disiarkan di platform Viu.

Dalam babak itu, Vanidah sebagai Ummi Rabiatul yang berbaring di atas katil dilihat menyentuh janggut ketua ajaran sesat, Walid (Faizal) dengan menggunakan kakinya.

Video babak itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dan jijik dengan adegan yang ditayangkan.

Must-Watch Video

Advertisement