Penyanyi Syada Amzah meluahkan rasa kesal apabila masih dikaitkan dengan konflik yang pernah berlaku dalam hidupnya meskipun memilih untuk berdiam diri dan tidak membuka mulut sejak awal.
Menerusi satu hantaran di laman sosial Threads ,Syada atau nama penuhnya Nursyuhada Amir Amzah berkata, dia mengambil keputusan untuk menghormati semua pihak terlibat dan tidak mendedahkan apa-apa, namun namanya tetap dikaitkan selepas berbulan-bulan berlalu.
Advertisement
“Saya pilih untuk diam dan menghormati walaupun saya boleh bersuara. Tapi selepas berbulan-bulan, nama saya masih disebut seolah-olah saya terlibat.
“Sebenarnya, awak yang menghubungi saya dan saya menyesal pernah menjawab panggilan itu. Melindungi maruah seseorang langsung tidak bermakna apabila mereka hanya memikirkan diri sendiri.
“Banyak kali hati saya hancur tahun ini, tetapi setiap kali datang bersama pengajaran. Jadi… terima kasih,” tulisnya.

Luahan tersebut dipercayai merujuk kepada situasi yang pernah melibatkan dirinya dalam konflik peribadi beberapa pihak sebelum ini.
Dalam ciapan sama, seorang pengguna berkongsi pandangan bahawa individu yang menjadi orang tengah dalam sesuatu isu sering kali menerima tempias, sebelum Syada membalas komen tersebut.
“Saya tidak mahu terlibat lagi, benar-benar trauma. Tapi terima kasih, Ekyn,” balasnya ringkas.
Terdahulu, Syada pernah menjadi perhatian ramai apabila dikaitkan dengan kemelut rumah tangga pempengaruh Elcah dan suaminya, Afi Hamri. Afi sebelum ini mendakwa Syada menjadi punca kepada keretakan rumah tangga mereka selepas dikatakan menghasut isterinya untuk bercerai.
Bagaimanapun, Elcah tampil mempertahankan sahabat baiknya itu dan menjelaskan Syada tidak terlibat secara langsung dalam konflik tersebut, sebaliknya hanya bertindak sebagai orang tengah ketika berlaku pertelingkahan dengan seorang individu lain.
Namun, pada Ogos lalu Elcah memberi amaran terakhir kepada Syada selepas mendakwa penyanyi itu menghubungi rakan-rakannya untuk menyebarkan fitnah mengenai keluarganya.
Sebelum ini, Elcah atau nama sebenarnya Nuraien Adilla Hasha Akhbar, 29, mengakui hubungan persahabatannya dengan Syada mula renggang selepas insiden melibatkan pihak ketiga dan mendakwa penyanyi itu seolah-olah tidak berpihak kepadanya dalam konflik rumah tangganya.
Sumber: Threads