Sekilas
- Sherry Ibrahim telah menurunkan hantaran berkaitan insiden anjing bernama Rocky selepas menerima penjelasan daripada sumber berita dan pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
- Keputusan itu dibuat untuk menghormati penjelasan yang diterima serta memberi ruang kepada pihak berwajib menjalankan siasatan dengan sewajarnya.
- Sherry menyeru agar insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat dan menghormati proses siasatan.
Pelakon, Sherry Ibrahim memilih untuk menurunkan hantaran berkaitan insiden melibatkan seekor anjing bernama Rocky selepas menerima penjelasan daripada beberapa pihak berhubung kejadian tersebut.
Menerusi satu hantaran di Threads, Sherry menjelaskan keputusan itu dibuat selepas meneliti maklumat yang diterimanya daripada sumber berita serta pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang menjelaskan situasi dan kronologi kejadian.
"Saya telah menerima penjelasan berhubung kejadian melibatkan anjing bernama Rocky daripada sumber berita serta pihak KRT kawasan yang menjelaskan situasi dan kronologi kejadian.
"Setelah mengambil kira penjelasan tersebut, saya mengambil keputusan untuk menurunkan hantaran terdahulu bagi menghormati penjelasan yang telah diberikan serta memberi ruang kepada pihak berwajib menjalankan tugas dan siasatan sewajarnya," tulisnya.
Dalam masa sama, Sherry juga berharap insiden berkenaan dapat dijadikan sebagai pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat, selain menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
"Walau bagaimanapun, saya ingin menyeru agar kejadian ini menjadi pengajaran kepada kita semua," katanya.