Sekilas
- Katrina Kaif berkongsi pengalaman perubahan fizikal dan kulit yang menjadi lebih sensitif selepas kehamilan dan melahirkan anak.
- Dia menekankan pentingnya penjagaan diri secara menyeluruh termasuk pemakanan, aktiviti fizikal, dan penggunaan produk penjagaan kulit yang lembut dan konsisten.
- Katrina memilih untuk tidak membalas kritikan netizen mengenai penampilannya, sebaliknya berkongsi perspektif baru tentang kecantikan yang datang dari menjaga diri secara holistik.
Aktres Bollywood Katrina Kaif berkongsi mengenai perubahan fizikal yang dialaminya sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan anak, ketika penampilannya turut menjadi bahan perbincangan serta kritikan di media sosial.
Katrina yang menyambut kelahiran anak lelakinya, Vihaan bersama suami, Vicky Kaushal sebelum ini berdepan pelbagai komen mengenai perubahan penampilannya selepas menjadi ibu.
Bagaimanapun, Katrina tidak memberikan respons secara langsung terhadap kecaman atau tindakan segelintir netizen yang memperlekehkan bentuk tubuhnya.
Sebaliknya, aktres berkenaan memilih untuk berkongsi pengalamannya melalui perubahan selepas kehamilan termasuk keadaan kulit yang menjadi semakin sensitif.
“Selepas kehamilan, kulit saya menjadi lebih sensitif. Ia satu tempoh yang agak mencabar kerana saya perlu memahami produk mana yang sesuai untuk saya,” katanya.
Menurut Katrina, perubahan tersebut membuatkan dia lebih berhati-hati memilih produk penjagaan kulit dengan memberi tumpuan kepada formula yang mampu menenangkan, menghidrat serta menjaga lapisan perlindungan kulit.
Dalam masa sama, bintang ‘Tiger 3’ itu belajar untuk tidak terlalu terikat dengan rutin tertentu, sebaliknya menyesuaikan penjagaan berdasarkan keadaan dan keperluan kulitnya.
“Saya belajar untuk menyesuaikan diri dan memberi respons kepada apa yang diperlukan kulit pada fasa atau waktu tertentu,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan awalnya sebagai model dan pelakon, Katrina mengakui industri kecantikan ketika itu banyak dipengaruhi stereotaip serta standard tertentu mengenai bagaimana seseorang wanita sepatutnya kelihatan.
Namun, selepas melalui pelbagai fasa kehidupan termasuk menjadi seorang ibu, perspektif Katrina terhadap definisi kecantikan turut berubah.
“Sekarang bagi saya, kelihatan terbaik sebenarnya bermaksud berasa dalam keadaan terbaik dan ia datang daripada menjaga diri secara keseluruhan,” katanya.
Bagi Katrina, penjagaan diri bukan hanya tertumpu kepada penggunaan produk kecantikan semata-mata.
Sebaliknya, dia turut memberi perhatian kepada pemakanan, kekal aktif, melakukan meditasi, mendapatkan cahaya semula jadi pada waktu pagi serta meluangkan masa untuk menjauhkan diri daripada telefon.
Katrina juga kini lebih konsisten menggunakan pelindung matahari berbanding ketika berada pada fasa awal kerjayanya.
Pada masa sama, dia menyedari beberapa faktor seperti tekanan, perjalanan, jadual penggambaran yang panjang serta pencahayaan kuat di set boleh memberi kesan kepada keadaan kulit.
Dalam soal penjagaan kulit pula, Katrina tidak terlalu percaya dengan idea bahawa sesuatu produk mampu memberikan perubahan drastik dalam tempoh semalaman.
Sebaliknya, dia lebih mempercayai penggunaan produk dengan formula lembut secara konsisten bagi mendapatkan hasil yang lebih baik untuk jangka panjang.
Perkongsian tersebut hadir ketika perubahan fizikal Katrina selepas melahirkan anak menjadi perhatian di media sosial dengan segelintir netizen turut mengkritik penampilannya.
Namun, aktres itu memilih untuk tidak membalas kritikan berkenaan secara langsung, sebaliknya berkongsi realiti perubahan yang dilaluinya serta bagaimana pengalaman menjadi ibu mengubah perspektifnya terhadap kecantikan dan penjagaan diri.
Sumber: Times of India