Sekilas
- Datin Dr. Wendy Wong mengakui poster teaser filem Takdir Terakhir: Last Dive yang dikritik adalah hasil penyertaan pelajar dalam pertandingan dan mempunyai kelemahan.
- Poster rasmi terbaru direka oleh pasukan produksi tanpa menggunakan teknologi AI, dengan elemen lakonan sebenar bagi menggambarkan tema filem.
- Filem ini mengangkat mesej pemuliharaan hidupan marin dan menunjukkan kekurangan fizikal bukan halangan untuk aktiviti selam skuba, akan ditayangkan pada 3 Disember 2026.
Penerbit dan pengarah filem Takdir Terakhir: Last Dive, Datin Dr. Wendy Wong tidak melatah dengan kritikan terhadap poster teaser filem tersebut, malah mengakui hasil berkenaan mempunyai kelemahan.
Wendy menjelaskan, poster yang hangat diperkatakan di laman Threads itu sebanarnya merupakan hasil penyertaan pelajar dalam pertandingan yang dianjurkan menerusi kerjasama dengan institusi pendidikan.
“Saya tak marah pun. Apa mereka kata memang betul. Poster memang tak bagus. Tetapi mereka tak faham, poster ini daripada murid-murid, daripada pelajar.
“Sebenarnya kita dah lama bekerjasama dengan sekolah, UiTM semua. Memang diuar-uarkan pelajar menyertai pertandingan untuk poster, tajuk dan lagu.
“Tetapi tak ramai orang sertai. Apa yang kita boleh pilih, itu sahaja yang kita ada. Jadi terpaksa, nak tak nak kena bagi menanglah. Itu sahaja yang kita ada,” katanya.
Wendy berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Official Poster dan Trailer Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian OST di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Rabu.
Menurut Wendy, dia sempat berasa sedih apabila poster tersebut menyebabkan ada pihak memandang rendah terhadap filemnya sebelum menonton.
Bagaimanapun, dia memahami reaksi berkenaan dan memilih untuk tidak mengambil hati.
“Memang saya rasa sedih untuk tempoh yang sangat singkat. Rasa macam, sampai hati, belum tengok filem lagi.
“Saya tak cakap filem saya bagus, tetapi selepas tengok baru cakaplah. Saya boleh faham juga, mungkin mereka tak tahu dan tersalah cakap. Jadi saya maafkan.
“Saya tak ambil hati, tak marah. Sebab kalau saya tak faham, saya tengok pun boleh cakap macam itu, betul tak? Jadi sekarang insya-Allah mereka dah faham,” ujarnya.
Dalam masa sama, Wendy menafikan poster berkenaan sengaja digunakan sebagai gimik untuk menarik perhatian terhadap filem tersebut.
“Saya tak buat gimik! Saya langsung tak tahu. Gimik merosakkan imej, macam awak kata, merosakkan filem. Saya tak buat gimik, tetapi saya terperanjat.
“Secara jujurnya, masa itu saya agak sedih. Tetapi selepas itu pereka poster saya kata, ‘Wendy, ini baguslah untuk promosi filem!’
“Saya pula kata, merosakkan filem kita. Orang tengok pun akan bercakap. Jadi insya-Allah kita boleh pulihkan perkara itu,” jelasnya.
Mengenai poster terkini, Wendy memaklumkan versi tersebut direka sendiri oleh pasukannya selepas tidak memperoleh hasil yang diinginkan daripada pertandingan.
Dia turut menegaskan poster baharu itu tidak menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Poster terkini sebenarnya kita reka sendiri sebab tak dapat apa yang kita nak. Kita cuba bagi peluang, ada yang pakai AI dan sebagainya, tetapi poster kita tak ada AI.
“Walaupun nampak air itu semua, itu adalah lakonan sebenar. Penyu yang tersangkut itu semua lakonan.
“Jadi kita tak pakai AI, kita guna artis khas untuk itu,” katanya.
Filem Takdir Terakhir: Last Dive mengetengahkan mesej pemuliharaan hidupan marin dan terumbu karang, selain membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meneroka dunia bawah laut menerusi aktiviti selam skuba.
Pelancaran poster rasmi filem disempurnakan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Dr Hans Isaac, manakala treler rasmi dilancarkan Pengasas Mines Beach Resort Hotel & Wellness Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Kim Yew dan pertandingan nyanyian pula dilancarkan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
Filem yang menjalani penggambaran selama kira-kira tiga minggu di Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah itu turut mendapat sokongan beberapa pihak termasuklah Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Filem Takdir Terakhir: Last Dive terbitan Syarikat Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 3 Disember 2026.
Filem itu menampilkan barisan pelakon termasuk Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff, selain penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.