Sekilas
- Mahkamah Majistret Klang melepas tanpa membebaskan tiga beranak keluarga mentua Prince Syed selepas beliau menarik balik laporan polis terhadap mereka.
- Tiga beranak itu sebelum ini didakwa mencederakan Prince Syed dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
- Prince Syed juga membuat akuan bersumpah bagi laporan polis terhadap abang iparnya, yang turut dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah.
Mahkamah Majistret Klang melepas tanpa membebaskan (DNAA) tiga beranak yang merupakan keluarga mentua kepada pempengaruh, Prince Syed ataua nama lengkapnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan mencederakan pempengaruh juga usahawan berkenaan.
Tiga beranak tersebut adalah bapa dan ibu mentua Prince Syed iaitu Ishak Saif dan Aminah Haniffa serta adik iparnya iaitu Muhammad Ikhwan Alif Ishak.
Keputusan itu dibuat mahkamah selepas Prince Syed mengesahkan sudah menarik semula laporan polis dibuat terhadap keluarga mentua sebelum ini dengan wang jaminan dikembalikan.
Sementara itu, Prince Syed turut membuat akuan bersumpah sebagai pengesahan laporan polis terhadap abang iparnya, Muhammad Syahmi Faiz Ishak di mahkamah berasingan di hadapan Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Siti Zubaidah kemudian membenarkan DNAA kepada Muhammad Syahmi Faiz dengan wang jaminan dikembalikan.
Terdahulu, Aminah, Ishak Saif, dan Muhammad Ikhwan Alif mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Prince Syed pada 14 November tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Aminah, Ishak dan Muhammad Ikhwan Alif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Prince Syed pada 2 November tahun lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Muhammad Syahmi Faiz didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin kenderaan Proton X70 milik adiknya, Fatin Syazwani dan menyebabkan kerugian RM560.
Bagaimanapun, Muhammad Syahmi Faiz mengaku tidak bersalah dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: Harian Metro