Skip to main content

Hiburan

Proses Pindah Barang Dilakukan Secara Teratur, Peguam Nubhan Nafi Barang Milik Dr. Fie Dicampak Keluar - “Jika Ada Kecacatan, Anak Guam Sudi Bayar”

Nubhan

Sekilas

  • Peguam syarie Nubhan menafikan dakwaan bekas isteri anak guamnya, Dr Afifah, bahawa barang peribadinya dicampak keluar dan menjelaskan proses pemindahan dibuat secara kemas dan teratur.
  • Nubhan membenarkan Dr Afifah tinggal di kediaman mereka selepas tempoh iddah dan sedia menanggung kos utiliti serta sewaan rumah untuk anak-anak mereka.
  • Terdapat beberapa isu undang-undang ditemui selepas Nubhan memasuki rumah tersebut, dan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap fitnah serta spekulasi di media sosial.

Peguam syarie yang mewakili penyanyi, Nubhan, iaitu Mohd Redzuan Ramli menafikan dakwaan dibuat bekas isteri anak guamnya iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek yang mengatakan beberapa barang peribadi miliknya telah dicampak keluar dari rumah kelamin mereka.

Menurut Mohd Redzuan,  proses mengalih beberapa barangan peribadi milik Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie telah dibuat secara kemas dan teratur melalui khidmat syarikat angkut berdaftar.

"Dakwaan bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah.

"Saya juga dimaklumkan anak guam bahawa proses pengalihan barangan peribadi bekas isterinya dibuat dengan sangat baik dan cermat.

"Sekiranya ada kecacatan Nubhan sedia bayar ganti rugi," katanya.

Tambah Redzuan, Dr. Fie juga sedia maklum mengenai persetujuan lisan berhubung tempoh mendiami kediaman kelamin mereka yang sepatutnya berakhir selepas iddah, iaitu Oktober lalu.

Walau bagaimanapun, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad tetap mengizinkan Dr. Fie untuk mendiami kediaman tersebut serta menanggung kos utili.

"Anak guam saya ada meminta pendapat untuk menduduki kembali rumah atas nama beliau. Saya jelaskan tiada kesalahan dalam undang-undang, tetapi hendaklah dibuat secara baik dan berhemah.

"Bekas isterinya (Dr. Fie) sedia maklum mengenai tempoh untuk tinggal di kediaman kerana perkara itu sudah dibincang dan dipersetujui. Tetapi, ada sebab kenapa Nubhan tidak maklumkan sebelum memindahkan barang-barang itu keluar.

"Nubhan pada bila-bila masa bersedia untuk menyediakan atau menanggung kos sewaan rumah untuk anak-anak beliau tinggal bersama bekas isteri sekiranya itu yang dimahukan. Anak-anak pula bebas untuk keluar masuk rumah terbabit tanpa had," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Redzuan memaklumkan bahawa terdapat beberapa perkara yang telah melanggar undang-undang ditemui anak guamnya selepas memasuki rumah terbabit. Bagaimanapun, perkara itu hanya akan disentuh dalam tuntutan harta sepencarian kelak.

Sementara itu, Mohd Redzuan turut menjelaskan bahawa Nubhan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menabur fitnah serta membuat spekulasi jahat mengenai kemelut rumah tangganya di media sosial.

Terdahulu, Dr. Fie memaklumkan dirinya sudah tidak dapat menahan rasa marah lagi selepas mendakwa banrang peribadi miliknya sudah dipindahkan tanpa sebarang notis pemberitahuan.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.

Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.

Sumber: Berita Harian

Must-Watch Video

Advertisement