Sekilas
- Pelakon Azhan Rani terkejut dan sedih dengan pemergian pelakon veteran Kamarool Yusoff atau Cik Man yang meninggal dunia akibat masalah jantung tersumbat.
- Azhan berkongsi bahawa mereka masih mempunyai beberapa drama bersama yang belum ditayangkan dan sepatutnya bergandingan dalam filem baru pada September ini.
- Azhan mengenang Allahyarham sebagai individu yang ceria dan memberi nasihat supaya tidak bercakap buruk tentang orang lain dalam industri hiburan.
Pelakon Azhan Rani mengakui terkejut dan sedih dengan berita pemergian pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff, 68, atau lebih dikenali sebagai Cik Man yang meninggal dunia semalam.
Menurut Azhan, kehilangan tersebut cukup dirasai memandangkan masih terdapat beberapa drama lakonan mereka yang belum ditayangkan, malah sepatutnya kembali bergandingan dalam sebuah filem pada September depan.
“Memang saya sangat sedih dan terkejut kerana ada beberapa drama yang kami berlakon bersama masih belum ditayangkan.
“Kebanyakannya menjalani penggambaran di Kelantan dan dalam salah satu drama itu dia memegang watak sebagai bapa saya.
“Sepatutnya pada September ini kami akan bergandingan sekali lagi dalam satu filem yang akan menjalani penggambaran di Kelantan,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan pelakon dan pelancaran poster filem terbaharu lakonannya, Chelot di Bungalow 37, hari ini.
Lebih meruntun hati, Azhan berkata, dia baru sahaja bertemu Allahyarham ketika menjalani penggambaran drama Bulan Henti Bicara di Terengganu.
Kebetulan ketika itu, mereka menginap di lokasi sama kerana Cik Man turut berada di negeri tersebut bagi menjalani penggambaran sebuah telefilem.
“Sebenarnya saya baru sahaja berjumpa dengannya ketika penggambaran Bulan Henti Bicara di Terengganu. Kebetulan kami menginap di tempat yang sama kerana dia menjalani penggambaran telefilem.
“Malam itu kami sempat berjumpa dan berbual. Tetapi itulah, pemergiannya sangat mengejutkan kerana dia tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mengalami sakit yang berpanjangan.
“Masa saya berjumpa dengannya tempoh hari, saya sempat bergurau dan berpesan, ‘Cik Man, kurangkanlah merokok,’ sebab saya tahu dia memang seorang perokok tegar,” katanya.
Bagaimanapun, Azhan mengakui ada menyedari perubahan fizikal Allahyarham yang kelihatan semakin kurus dan pernah bertanyakan mengenai keadaan kesihatannya.
“Cuma saya perasan dia semakin kurus. Saya selalu menegurnya dan bertanya sama ada dia sakit. Saya juga pernah berpesan supaya tidak memandu sendiri dan biarkan orang lain memandu.
“Tetapi itulah cara dia. Dia tak pernah menunjukkan dirinya sakit. Dia sentiasa bergurau dan menceriakan suasana di lokasi,” ujarnya.
Mengenang keperibadian Allahyarham, Azhan menyifatkan Cik Man sebagai individu yang sentiasa menceriakan suasana selain tidak gemar bercakap mengenai keburukan orang lain.
“Sepanjang saya mengenalinya, dia juga bukan seorang yang suka bercerita mengenai keburukan orang lain.
“Dialah penyeri di set penggambaran,” katanya.
Dalam pada itu, Azhan turut berkongsi satu pesanan Allahyarham yang masih terpahat dalam ingatannya sehingga hari ini.
“Saya tidak begitu ingat semua nasihatnya, tetapi satu perkara yang sentiasa saya ingat ialah dia pernah berpesan supaya kami yang berada dalam industri ini tidak bercakap mengenai keburukan orang lain.
“Katanya, kita kena jaga diri sendiri kerana apa sahaja keburukan yang kita cakap mengenai orang lain, suatu hari nanti boleh kembali kepada diri kita sendiri.
“Itulah antara pesanan yang paling saya ingat, walaupun ketika itu dia menyampaikannya dalam loghat Kelantan dengan cara yang cukup bersahaja,” katanya.
Allahyarham Kamarool dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tanah Merah, Kelantan akibat masalah jantung tersumbat pada pukul 5.15 petang semalam.
Jenazah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual, Petai Lima, Tanah Merah pada pukul 11.50 pagi tadi.