Sekilas
- Puteri Sarah Liyana menegaskan pentingnya memilih pasangan yang sekufu dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan, bukan sekadar mencari kebahagiaan.
- Beliau menjadikan pasangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Hasmah sebagai contoh perkahwinan yang berjaya kerana mereka berkongsi latar belakang dan nilai yang sama.
- Menurut Puteri Sarah, pasangan yang boleh berkembang bersama secara intelektual, emosi dan rohani adalah kunci kebahagiaan yang berbeza dalam perkahwinan.
Pelakon Puteri Sarah Liyana berpendapat pemilihan pasangan hidup bukan sekadar mencari seseorang yang mampu membahagiakan, sebaliknya penting untuk mempunyai pasangan yang sekufu dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan.
Menurut Puteri Sarah, dia melihat pasangan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Hasmah sebagai antara contoh perkahwinan yang menarik.
“Orang selalu bercakap tentang mencari pasangan yang boleh membahagiakan kita. Tapi bagi saya, ada satu perkara yang sama penting — mencari pasangan yang sekufu, terutama dari segi ilmu, pemikiran dan cara melihat kehidupan.
“Saya melihat Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah sebagai satu contoh yang menarik. Mereka bertemu ketika sama-sama belajar dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, sebelum berkahwin pada tahun 1956,” katanya.
Tambah Puteri Sarah, Tun Dr Hasmah bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada seorang pemimpin, malah mempunyai latar belakang dan pencapaian tersendiri dalam bidang perubatan.
“Bagi saya, cantiknya sebuah perkahwinan bukan hanya apabila dua orang saling mencintai, tetapi apabila mereka boleh bercakap pada level pemikiran yang sama, menghormati ilmu masing-masing, bertukar pandangan dan terus berkembang bersama.
“Sekufu bukan bermaksud mesti mempunyai sijil atau kerjaya yang sama. Tetapi apabila pemikiran, nilai, kematangan dan keinginan untuk terus belajar itu seiring, perjalanan hidup bersama mungkin terasa lebih bermakna.
“Carilah pasangan yang bukan hanya mahu hidup bersama kita, tetapi seseorang yang boleh grow with us — intellectually, emotionally and spiritually.
“Kerana cinta itu penting, tetapi mempunyai pasangan yang kita boleh hormati pemikirannya adalah satu bentuk kebahagiaan yang berbeza,” ujarnya.
Sumber - Threads