Skip to main content

Filem

Qifarah, Filem Debut Seram Arahan Ghaz Abu Bakar! - “Elemen Visual & Bunyi Yang Meninggalkan Kesan Mendalam, Tak Mudah Dilupakan”

Qifarah, Filem Debut Seram Arahan Ghaz Abu Bakar

Filem terbaharu berjudul Qifarah yang merupakan taruhan pertama pengarah, Ghaz Abu Bakar dalam genre seram.

Qifarah menjanjikan penceritaan penuh misteri, suspens, serta bayangan ghaib yang akan terus mengikat jiwa penonton hingga ke detik terakhir.

Advertisement

Qifarah diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi.

Sekaligus membuktikan keterbukaan Astro Shaw dalam dunia perfileman tempatan dengan menjalin kerjasama bersama pelbagai penerbit.

Langkah ini juga memperlihatkan komitmen Astro untuk mengangkat kualiti filem tempatan secara kolektif, tanpa mengira latar belakang syarikat penerbit, asalkan visi kreatif sejajar dan produk yang dihasilkan.

Filem ini juga dibintangi pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.

Mengetengahkan unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah dibalut dengan sinematografi bergaya yang mengajak penonton merenung erti sebenar dosa lampau dan ruang penebusan yang masih berbaki.

Menurut Ghaz, filem ini dihasilkan dengan teliti dari setiap lapisan proses supaya pengalaman menonton benar-benar terasa.

“Setiap babak dirangka untuk memberi impak yang berkesan. Dari rekaan set, pencahayaan, prop, hinggalah setiap perincian pakaian dan aksesori watak, semua elemen diberi perhatian. 

“Saya mahu setiap penonton merasai intensiti dunia ‘Qifarah’ dan pengajaran yang ingin disampaikan, dengan elemen visual dan bunyi yang meninggalkan kesan mendalam serta tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam,” ujarnya.

Qifarah bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. 

 

Sinopsis:

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah

bersama isterinya, Marissa (Rita Nadira), serta anak mereka, Mikhail (Rafique Iskandar). 

Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya yang sedang nazak, Yusoff kembali ke tanah air selepas 30 tahun dengan niat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, sambil merungkai kejadian mistik yang terus membelenggunya.

Di sebalik kepulangan itu tersembunyi pertemuan semula Yusoff dengan keluarganya yang penuh rahsia kelam. 

Yusoff berdepan ibu tirinya, Mawar (Sharifah Sakinah), yang langsung tidak dimamah usia, dan adiknya, Eykha (Liyana Jasmay), yang jiwanya kekal seperti anak kecil.

Kehadiran Marissa dan Mikhail secara tiba-tiba di rumah pusaka keluarga Yusoff mengeruhkan keadaan. 

Pelbagai kejadian aneh menyambut mereka, menjadikan setiap langkah sarat dengan ketegangan. 

Apa yang menanti di hadapan? Adakah nyawa dan nasib mereka kini terancam?

 

Must-Watch Video

Advertisement