Sekilas
- Pelakon Que Haidar berkata isu artis datang lewat ke lokasi penggambaran bukan perkara baru dalam industri seni.
- Beliau menegaskan sikap tidak berdisiplin antara punca utama pelakon gagal bertahan lama dalam bidang lakonan.
- Que menasihatkan pelakon baharu supaya menghormati waktu bekerja dan serius dengan setiap komitmen untuk kekal lama dalam industri.
Pelakon Que Haidar berpendapat isu artis datang lewat ke lokasi penggambaran bukanlah datu perkara baharu, namun percaya sikap tidak berdisiplin menjadi antara punca sesetengah pelakon gagal bertahan lama dalam industri seni.
Menurut Que, situasi itu ada saja berlaku sewaktu dia mula menceburi bidang lakonan, namun kebanyakan individu yang tidak menjaga disiplin sudah tidak lagi aktif dalam industri ketika ini.
“Kalau nak cakap pasal datang lambat, dulu pun ada sama macam zaman sekarang.
“Cuma, pelakon yang datang lambat tu masa batch saya tu dah tak ada dah sekarang. Mereka yang tak jaga masa, tak jaga disiplin memang dah tak ada,” kongsinya.
Tambah Que, disiplin merupakan antara kunci utama untuk seseorang pelakon membina kerjaya yang panjang dalam dunia seni.
Justeru, dia menasihatkan pelakon baharu supaya sentiasa menghormati waktu bekerja dan mengambil serius setiap komitmen yang diberikan kerana ia melibatkan rezeki serta profesionalisme dalam industri.
“Jadi kepada pendatang baharu kalau nak kekal lama, salah satu tipsnya adalah jaga disiplin, jaga ‘call time’. Kena ambil serius dengan kerja kita sebab kita cari rezeki kan,” tambah Que.
Sumber: TikTok