Sekilas
- Pelakon Que Haidar meluahkan kekecewaan terhadap netizen yang sering meninggalkan komen negatif di media sosial sehingga menyakitkan hati orang lain.
- Que menegur pengguna yang suka mencari salah orang dalam sesi siaran langsung dan mengingatkan supaya menjaga tutur kata ketika memberi komen.
- Beliau menegaskan status selebriti bukan alasan untuk menerima segala kritikan dan sudah lama bersabar dengan komen negatif yang diterima.
Pelakon, Que Haidar meluahkan rasa kecewa terhadap segelintir netizen yang gemar meninggalkan komen negatif di media sosial sehingga boleh menggores hati orang lain.
Menerusi sesi siaran langsung di media sosial, Que dilihat menegur seorang pengguna yang didakwa sering meninggalkan komen kurang menyenangkan di ruangan komen miliknya.
"Yang pembersih sangat ni, followers kosong, following 184.
"Pembersih sangat hidup dia kerja dia masuk live orang lepas tu cari salah orang. Dia rasa dia pembersih, tapi hati dia kotor. Hati kotor, busuk,” katanya.
Que juga mengingatkan bahawa setiap individu perlu menjaga tutur kata dan tidak sewenang-wenangnya menulis komen yang boleh menyakiti hati orang lain.
Pelakon itu turut menegaskan status sebagai selebriti bukanlah alasan untuk orang ramai melontarkan segala bentuk kritikan atau komen yang melampau.
“Maafkan saya awak, awak masuk live saya. Kan mak kita ajar, Saya tak tahu mak awak ajar ke tak, tapi mak-mak kita ajar kalau tak ada benda baik nak cakap, kita diam.
“Kita cakap benda-benda yang baik supaya orang tak terasa hati dan tak tersakit hati.
“Jangan guna tiket, ‘oh dia selebriti, dia kena terima saja segala komen orang’. Awak fikir tak bila awak tegur atau komen, ia boleh menyakitkan hati orang? Perasaan sakit hati itu tetap dikira juga,” ujarnya.
Pada masa sama, Que mengakui dia sudah lama bersabar dengan pelbagai komen negatif yang diterima.
“Saya sabar lama. Saya orang yang sabar, insya-Allah. Alhamdulillah,” katanya lagi.