Sekilas
- Radin menegaskan setiap individu berhak meluahkan pandangan, tetapi perlu sensitif dan memilih apa yang patut dikongsi terutama berkaitan perkahwinan, kematian, dan keluarga.
- Beliau mengingatkan agar tidak semua perkara yang kurang menyenangkan perlu disuarakan secara terbuka kerana ia boleh menjejaskan perasaan orang lain termasuk keluarga dan rakan.
- Radin melihat kritikan sebagai peluang pembelajaran dan menasihatkan agar mengambil perkara positif daripada komen yang diterima untuk memperbaiki diri.
Pengacara dan penyampai radio, Radin berpendapat setiap individu mempunyai hak untuk meluahkan pandangan serta pengalaman masing-masing, namun perkara itu perlu dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti orang lain.
Menurut Radin atau nama lengkapnya, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani tidak semua perkara yang dirasakan kurang menyenangkan atau tidak dipersetujui perlu disuarakan secara terbuka.
“Pada saya, masing-masing ada hak untuk meluahkan apa yang dirasakan. Cuma, lebih baik kita fikirkan perkara yang patut disimpan dan dipendam sebagai pengalaman serta cerita untuk diri sendiri.
“Mungkin daripada sudut pandangan lain, ada individu yang mahu berkongsi pengalaman dengan cara tersendiri. Cuma, mungkin penyampaian atau perkara yang ingin disampaikan itu tidak mendapat penerimaan yang sepatutnya.
“Bagi saya, bukan semua perkara perlu kita tegur atau luahkan. Ada perkara yang kita rasa betul, ada juga yang kita rasa tidak betul, tetapi tidak semestinya semuanya perlu dikeluarkan. Kadang-kadang, cukup sekadar kita simpan sendiri,” katanya kepada Gempak.
Mengulas lanjut, Radin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berkongsi pandangan, khususnya perkara yang melibatkan majlis perkahwinan, kematian dan keluarga.
Katanya, isu berkaitan perkara tersebut sering menyentuh sensitiviti masyarakat kerana ia bukan sahaja melibatkan individu yang menjadi perhatian, malah turut memberi kesan kepada keluarga serta kenalan mereka.
"kita perlu menjaga sensitiviti orang lain, bukan hanya tuan rumah atau pengantin yang terlibat, tetapi kita juga perlu memikirkan keluarga dan rakan-rakan mereka. Masyarakat kita sangat sensitif apabila melibatkan perkara berkaitan perkahwinan, kematian dan keluarga.
“Kadang-kadang ada perkara yang kita rasa kurang sesuai untuk dikongsi secara terbuka. Lebih baik kita simpan sendiri kerana orang lain tidak berada dalam situasi yang sama ketika perkara itu berlaku. Mungkin mereka tidak memahami keadaan sebenar atau tidak mendapat gambaran yang jelas,” ujarnya.
Bagaimanapun, Radin melihat setiap kritikan dan komen yang diterima sebagai peluang untuk seseorang belajar mengendalikan situasi dengan lebih baik.
Malah, dia berpendapat tidak semua komen yang diberikan bertujuan mengecam, sebaliknya ada yang boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki kelemahan diri.
“Pada masa sama, perkara seperti ini sebenarnya mengajar kita sesuatu. Kita belajar bagaimana hendak mengendalikan situasi dan menerima kritikan.
“Kadang-kadang orang memberikan komen bukan kerana mahu mengecam, tetapi mungkin untuk membantu kita memperbaiki diri. Jadi, kita ambil perkara positif daripada situasi tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang pengacara majlis dikecam netizen selepas berkongsi mengenai majlis perkahwinan kliennya.
Menerusi hantaran di Instagram itu, pengacara itu didakwa seolah-olah menjatuhkan air muka kliennya.