Sekilas
- Pelakon Rahim Omar menjelaskan tunggakan sewa rumah sebanyak RM7,000 berlaku ketika dia tiada tawaran lakonan selama enam hingga tujuh bulan.
- Rahim memilih untuk bersemuka dengan pemilik rumah bagi mencari penyelesaian dan kini sedang berusaha menstabilkan kewangannya selepas kerugian besar.
- Dia sudah berpindah dari rumah tersebut selepas diminta keluar dan menerima bantuan daripada individu lain untuk tempat tinggal baru.
Pernah terkait dengan isu tunggakan rumah sewa, pelakon Rahim Omar tampil menjelaskan bahawa dia tidak pernah berniat melarikan diri daripada tanggungjawab untuk melunaskan bayaran rumah sewa.
Ujar Rahim, tunggakan yang dianggarkan berjumlah RM7,000 itu berlaku sewaktu dia berdepan fasa sukar dalam kehidupan apabila tidak mempunyai sebarang tawaran lakonan selama enam hingga tujuh bulan sehingga menjejaskan sumber pendapatannya.
“Sebenarnya jumlah tunggakan adalah sebanyak RM7,000. Waktu itu saya memang susah, tak ada job.
“Tahun lepas, dalam enam hingga tujuh bulan saya tak ada job. Jadi. saya duduk di rumah pun anak saya dapat bantuan zakat. Zakat memang bayar setiap bulan RM800 cuma saya kena tambah lagi RM300.
“Tapi masa tu, kalau cerita orang macam tak percaya. RM300 pada saya, ketika itu memang susah. Tahun ini Alhamdulillah saya semakin stabil,” katanya kepada Gempak.
Rahim berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media perkenalan barisan peserta bagi program Kilauan Emas Selebriti di Astro, Bukit Jalil pada Selasa.
Ditanya sama ada dia ada membuat sebarang pembayaran selepas isu tersebut tular, pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu mengakui dia memilih untuk menangguhkan pembayaran buat sementara waktu kerana mahu bersemuka dengan pemilik rumah terlebih dahulu bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya sengaja tak nak bayar. Saya nak bayar sikit-sikit. Saya pergi jumpa dia, tapi dia sombong. Saya datang dari jauh-jauh untuk berjumpa dan menunggu dia tapi cara dia cakap itu agak sombong.
“Saya kata, ‘Eh, aku datang cari engkau, sepatutnya engkau cakap elok-elok. Aku dengan niat datang aku nak selesaikan perkara ini.
“Dia juga sentiasa menghubungi saya sewaktu saya sedang penggambaran tetapi saya tak layan kerana saya tak ada jawapan. Saya tunggu bila dah ada (jawapan), saya akan cari dia,” kongsinya.
Walau bagaimanapun, Rahim memaklumkan dia kini sedang berusaha untuk menstabilkan semula kewangannya dan yakin isu tersebut dapat diselesaikan.
“Sekarang ini saya baru nak stabilkan semula ekonomi saya sebab ini saya alami kerugian yang tahun sehingga mencecah RM500,000 tapi saya tak bercerita pada orang.
“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan cuma orang itu tak sabar. Dia tak faham keadaan kita. Kita bukan suka-suka sebab saya pun sebelum ini tak pernah sesusah itu.
“Tapi saya yakin, dengan rezeki tahun ni, insya-Allah. Saya akan jumpa dia dan akan selesaikan. Saya tidak lari,” ujarnya.
Mengulas pula mengenai kenyataan yang dikeluarkan pemilik rumah sebelum ini, Rahim memaklumkan dia tidak menyimpan rasa kecewa, sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian daripada Allah SWT.
“Tak kecewa, saya terima. Demi Allah tak kecewa. Saya cakap dengan isteri dan anak supaya bersabar, ini ujian. Bagi saya Allah nak uji.
“Ketika umur saya yang dah berumur macam ini, saya perlu hadap. Ini semua aturan Allah. Kita terima, insya-Allah,” kongsinya.
Dalam pada itu, Rahim memaklumkan dia sudah tidak lagi menetap di kediaman berkenaan selepas mendakwa telah diminta untuk keluar dari rumah tersebut.
“Saya dah pindah. Sebab dia halau saya. Hari yang dia suruh keluar, macam-macam dia ada ugut saya tapi saya tak cerita pada orang.
“Tapi Alhamdulillah bila keluar, ada hamba Allah yang tolong bagi rumah yang lebih selesa kepada saya,” katanya lagi.
Sebelum ini, seorang pengguna Threads memuat naik tangkap layar perbualan bersama Rahim dan mendakwa aktor itu gagal membayar sewa selama dua tahun.
Dalam perkembangan lain, Rahim merupakan salah seorang daripada 10 peserta bagi program yang bakal menemui penonton 22 Ogos depan.
Selain Rahim, antara selebriti yang turut menjadi peserta termasuklah Zila Bakarin, Datuk Jalaluddin Hassan, Rashan Baba dan ramai lagi.