Pernikahan primadona filem alaf baharu, Erra Fazira dan pasangannya, Ezwan Zain pada tanggal 12 Disember 2025 masih menjadi buah mulut masyarakat.
Selain sepohon pokok emas yang menjadi mas kahwin mereka diulas oleh ‘pakar-pakar’ di media sosial, busana pernikahan berwarna biru cair yang disarung pasangan mempelai turut menarik perhatian.
Rupa-rupanya, busana indah itu merupakan hadiah istimewa daripada pereka fesyen terkenal Rizman Ruzaini sebagai tanda persahabatan mereka yang sudah mencecah belasan tahun.
Menurut Rizman Nordin, menjadi impiannya untuk mereka busana buat si jelitawan itu.
"Saya mengenali Erra sudah lama. Tetapi ketika kami berkenalan, dia sudah pun berumah tangga ketika itu. Jadi bila dia nak kahwin lagi, sudah semestinya kami ingin menghadiahkan busana perkahwinan kepadanya.
"Hadiah ini adalah tanda persahabatan yang terjalin di antara kami sejak sekian lama," katanya kepada media.
Ditanya tentang inspirasi di sebalik rekaan busana pernikahan Erra, kata Rizman aktres dan penyanyi itu sekadar inginkan baju kurung moden yang sederhana dan polos.
"Erra beritahu dia mahukan baju kurung moden yang 'simple' sahaja untuk majlis nikah. Tetapi mengenali Rizman Ruzaini, pastinya kita akan menghiasi busana itu dengan sulaman manik yang indah.
"Bekerja dengan Erra sangat mudah. Dia terbuka dengan idea yang kita kongsikan. Dia percaya dengan hasil kerja kita. Dia pula memang dah cantik, pakai apa pun cantik," jelasnya.
Rizman juga merahsiakan harga busana perkahwinan tersebut kerana baginya persahabatannya dengan Erra lebih bernilai.
Melihat Erra kembali berumah tangga, Rizman akui turut menumpang bahagia dan berharap perkahwinan yang dibina kali ini kekal hingga ke syurga.
"Dulu setiap kali berjumpa untuk 'fitting' baju saya selalu tanya Kak Erra bila nal kahwin. Dan dia selalu suruh saya carikan calon untuknya.
"Bila akhirnya dia bertemu dengan pasangan yang sesuai, saya tumpang bahagia untuknya. Alhamdulillah, semoga berkekalan sampai bila-bila," ujarnya.
Terdahulu Erra selamat diijabkabulkan dengan usahawan, Ezwan Zain dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Melayu Subang pada pukul 9.19 pagi.
Pasangan itu diraikan dalam sebuah resepsi di lokasi sama hari ini dengan kehadiran keluarga dan rakan terdekat.