Pengacara Raja Rashtam, 32, mendedahkan rahsia kekuatan yang menjadi pegangan utamanya setiap kali mengendalikan majlis adalah doa restu seorang ibu.
Katanya, sebelum memulakan sebarang tugasan, dia akan menghubungi ibunya terlebih dahulu untuk memaklumkan tentang acara yang bakal dikendalikannya serta memohon agar didoakan kelancaran, kerana doa tanpa hijab seorang ibu diyakini menjadi kunci ketenangan dan semangat.
Advertisement
“Setiap kali sebelum majlis, saya akan hubungi mama untuk minta doa. Mama selalu beri kata-kata positif, semangat, dan pesan agar fokus, jangan gementar, buat seikhlas hati serta pikul tanggungjawab dengan baik. Itu sudah jadi rutin saya,” jelasnya.
Selain restu ibunya, Raja Rashtam turut mengamalkan bacaan Surah Al-Insyirah sebanyak tujuh kali, Ayat 1000 Dinar serta doa Nabi Sulaiman sebelum keluar rumah atau sebelum acara bermula.
Baginya, amalan kerohanian itu bukan sahaja menenangkan jiwa, malah membuka jalan agar setiap urusan dipermudahkan serta diberkati.
“Saya percaya doa dan amalan ini adalah ikhtiar. Kita berusaha beri yang terbaik, tapi pada masa sama, serahkan segalanya kepada Allah SWT,” ujarnya.
Raja Rashtam menegaskan setiap majlis yang dikendalikannya adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Katanya, tugas seorang pengacara bukan sekadar memastikan perjalanan acara lancar, tetapi juga mencorakkan suasana dan meninggalkan kesan kepada tetamu.
“Saya berkarya untuk setiap client tanpa mengira siapa mereka. Semua adalah amanah. Saya pastikan acara berjalan tersusun dengan sempurna. Bila client puas hati, itu kejayaan sebenar sebagai pengacara,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Raja Rashtam diberi kepercayaan mengendalikan majlis pernikahan selebriti terkenal Nelissa Senrose.
Majlis itu mendapat pujian ramai tetamu yang terpukau dengan tutur katanya yang tersusun indah serta sentuhan profesional yang berjaya menggabungkan gaya teratur dengan kehangatan peribadi.