Sekilas
- Majlis resepsi bertemakan ‘kenduri rakyat’ pasangan pengantin Syed Saddiq dan Bella Astillah di Muar, Johor diserikan dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura dan negeri-negeri lain.
- Para tetamu meluahkan rasa gembira dan kasih sayang terhadap pasangan pengantin, memuji keperibadian Bella yang lemah lembut dan sesuai menjadi sokongan kepada Syed Saddiq.
- Syed Saddiq dan Bella selamat disatukan pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, dan majlis resepsi ini menjadi peluang rakyat meraikan kebahagiaan mereka secara langsung.
Kemeriahan majlis resepsi bertemakan ‘kenduri rakyat’ pasangan pengantin baharu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan isterinya, Bella Astillah di Muar, Johor, baru-baru ini disambut meriah dengan lebih 10,000 kehadiran rakyat.
Rata-rata yang hadir meluahkan rasa gembira dan luas hati apabila berpeluang meraikan sendiri pasangan pengantin dua sejoli berkenaan.

Seorang wanita yang hadir memaklumkan dia bersama keluarga tiba seawal jam 9 pagi kerana tidak sabar untuk memeriahkan majlis berkenaan.
Malah, wanita itu juga menyatakan sebab kehadirannya pada majlis tersebut adalah kerana kasih dan sayangnya terhadap YB dan juga isterinya, Bella.
“Kami tiba lebih kurang dalam pukul 9 pagi, memang kami nanti nantikan sangat kenduri ini, kerana nak meraikan pasangan pengantin.
“Kami sayang pada YB dan juga Bella. Mereka adalah pasangan yang secocok, tepat pada masanya dan mereka berdua sangat ngam,” ujarnya.
Sementara itu, suaminya juga yang turut hadir mengambil kesempatan menitipkan doa agar rumah tangga pasangan berkenaan sentiasa dilimpahi kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
Malah, dia turut menyifatkan Bella sebagai individu yang sesuai untuk memberikan sokongan kepada Syed Saddiq dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.
“Kita mendoakan mudah mudahan mereka bahagia hingga akhir hayat bersama keluarga mereka dan kita minta YB dan Bella harap sampai ke satu tahap yang mana YB sampai boleh memerintah negara.
“Bella adalah sokongan yang paling sesuai untuk YB. Bagi pihak saya pula mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua mempelai, YB Syed Saddiq dan Bella Astillah semoga hingga ke Jannah, sentiasa bahagia bersama anak-anak tersayang,” ujarnya.

Manakala seorang lagi wanita juga turut memuji keperibadian Bella yang peramah, lemah lembut dan kelihatan secocok dengan Syed Saddiq.
“Bella seorang yang lemah lembut dan tidak sombong, malah dia masih lagi tersenyum walaupun berdepan dengan ribuan rakyat.
“Kami doakan semoga Bella dan YB bahagia hingga ke Jannah,” ujarnya.
Untuk info, lebih 10,000 tetamu hadir memeriahkan majlis resepsi pasangan pengantin baharu, Syed Saddiq dan Bella Astillah yang berlangsung di Muar, Johor pada Ahad.
Majlis yang bertemakan kenduri rakyat itu bukan sahaja menghimpunkan penduduk setempat, malah turut menerima kehadiran tetamu dari pelbagai lokasi termasuk Singapura, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.
Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada 10 Oktober lalu di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.