Sekilas
- Acha Septriasa memuji kejayaan filem Munafik sebagai inspirasi kepada pembikin filem di Indonesia dan Malaysia.
- Beliau berharap Indonesia juga dapat menghasilkan filem horor yang memberi impak besar seperti Munafik.
- Munafik: Melawan Iblis akan ditayangkan di pawagam Malaysia pada 1 Oktober ini dengan barisan pelakon dari Indonesia.
Pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa menyifatkan kejayaan filem Munafik sebagai sesuatu yang wajar dibanggakan oleh penonton Malaysia kerana karya tersebut berjaya menjadi inspirasi kepada pembikin filem di negara lain.
Menurut Acha, fenomena yang dicetuskan filem tersebut bukan sekadar memberi impak kepada industri perfileman Malaysia, malah turut membuka inspirasi kepada penggiat filem di Indonesia untuk menghasilkan karya horor yang mampu mencipta fenomena tersendiri.
“Penonton filem Malaysia dan juga Indonesia sepatutnya bangga dengan apa yang kita ada.
“Pada saat Malaysia mendapat peluang untuk menghasilkan karya seperti Munafik, filem itu pula menjadi inspirasi kepada Munafik di negara lain. Saya rasa penonton Malaysia patut berbangga.
“Saya rasa lumrah sahaja kalau mereka mempunyai citarasa atau pendapat masing-masing.
“Tetapi bagi saya, rakyat Malaysia patut bangga kerana ini ialah karya anda yang membuatkan kami, orang Indonesia, begitu terpukau,” katanya.
Dalam pada itu, Acha juga mengakui mempunyai keinginan untuk melihat Indonesia turut menghasilkan sebuah filem horor yang mampu memberikan impak besar seperti Munafik.
“Kami juga mahu menghasilkan sesuatu seperti ini untuk negara kami, supaya kami juga boleh mempunyai filem fenomena, filem horor seperti karya anda,” tambahnya.
Munafik : Melawan Iblis dibintangi Acha Septriasa, Arya Saloka, Dimas Aditya, Nova Eliza, Izabel Jahja, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari yang menggantikan watak-watak asal versi Malaysia seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Sabrina Ali.
Filem ini merupakan terbitan Unlimited Production dan Skop Productions, serta sokongan oleh Legacy Pictures, AZ Films, dan Komet Productions.
Manakala Astro Shaw bertindak selaku rakan pemasaran di Malaysia, filem yang dijadualkan ditayangkan September ini mengisahkan tentang perjuangan Ustaz Adam dalam menyelamatkan seseorang daripada jeratan iblis.
Munafik: Melawan Iblis ini juga akan dibawa ke pawagan di Malaysia pada 1 Oktober depan.