Sekilas
- Karamjit Singh mengakui minatnya terhadap sukan rali kekal utuh sejak berusia 20 tahun dan menganggap rali sudah sebati dalam dirinya.
- Beliau berharap dikenang bukan hanya kerana kejayaan, tetapi juga dedikasi, disiplin, dan patriotismenya terhadap Malaysia.
- Kisah hidup Karamjit diangkat dalam filem TERBANG arahan Chiu Keng Guan yang akan ditayangkan di pawagam September ini.
Legenda rali negara, Karamjit Singh mengakui kecintaannya terhadap dunia perlumbaan tidak pernah luntur meskipun sudah puluhan tahun berkecimpung dalam sukan tersebut.
Menurut Karamjit, minat yang mula berputik sejak berusia 20 tahun itu kekal utuh sehingga hari ini sehingga menyifatkan sukan rali seolah-olah sudah sebati dalam dirinya.
“Sejak umur 20 tahun sampai sekarang memang rasa yang sama juga. Rali memang macam sudah dalam darah,” katanya kepada Gempak.
Juara Dunia FIA Production Car World Rally Championship (PWRC) 2002 itu berkata, jika suatu hari nanti namanya dikenang, dia berharap orang ramai mengingatinya bukan sekadar kerana kejayaan yang pernah diraih, tetapi atas dedikasi serta semangatnya terhadap sukan rali dan negara.
“Kalau orang kenang Karamjit Singh, saya harap mereka ingat dedikasi saya.
“Mereka ingat minat saya kepada rali, dedikasi saya, disiplin dan passion saya terhadap sukan ini.
“Paling penting, patriotisme saya kepada Malaysia,” ujarnya.
Tambah Karamjit, semangat untuk terus berada dalam dunia rali bukan didorong oleh gelaran atau pengiktirafan semata-mata, sebaliknya kerana kecintaan mendalam terhadap sukan yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
Kisah perjuangan Karamjit sebagai ikon rali negara turut diangkat ke layar perak menerusi filem TERBANG arahan Chiu Keng Guan yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya mengharumkan nama Malaysia di pentas rali dunia.
Filem terbitan Astro Shaw ini dibarisi pelakon hebat seperti Jack Tan, Zizan Razak, Nam Ron, Diana Danielle dan Qasrina Karim.
Terbang dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara pada September ini.