Sekilas
- Kajian Radio Audience Measurement (RAM) Wave 2 2025 menunjukkan 93% rakyat Malaysia berumur 10 tahun ke atas mendengar radio setiap minggu dengan purata masa dengar 12 jam 47 minit.
- Astro Audio terus mendominasi industri radio Malaysia dengan stesen seperti ERA, HITZ, MY FM, dan RAAGA berada di kedudukan teratas mengikut kategori bahasa masing-masing.
- Radio kekal relevan merentasi generasi dan platform digital, menarik 12.3 juta pendengar berumur 10 hingga 39 tahun serta 9.6 juta pendengar 40 tahun ke atas.
Penyedia perisikan pengguna global, NIQ mengumumkan dapatan rasmi daripada kajian Radio Audience Measurement (RAM) Wave 2 2025 yang dijalankan oleh GfK.
Kajian nasional ini mengesahkan bahawa radio terus menjadi platform media massa paling signifikan di Malaysia, dengan 93% rakyat Malaysia berusia 10 tahun ke atas mendengar radio secara mingguan, bersamaan 21.9 juta pendengar, dan purata 12 jam 47 minit masa mendengar setiap minggu.
Kajian RAM Wave 2 2025 dilaksanakan selama enam minggu merangkumi seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak, memberikan gambaran komprehensif terhadap pola pendengaran rakyat Malaysia serta menyediakan rujukan bebas untuk penyiar, pengiklan dan agensi media.
Menurut Pengarah Komersial Pengukuran Media Asia GFK, Giacomo Catanoso, kepercayaan dan kebiasaan capaian radio yang berterusan masih menjadi faktor penting dalam landskap media yang semakin kompleks.
“Kajian ini menunjukkan bukan sahaja sejauh mana radio mencapai pendengar, tetapi juga bagaimana radio terus berperanan secara mendalam dalam kehidupan seharian merentas generasi dan situasi.
“Keterlibatan konsisten ini membuktikan bahawa radio kekal sebagai saluran yang berkuasa dan melengkapi penggunaan media pelbagai platform,” tegasnya.
Dalam pada itu, kajian menunjukkan radio menarik 12.3 juta pendengar berusia 10 hingga 39 tahun serta 9.6 juta pendengar berusia 40 tahun dan ke atas.
Pendengar turut aktif di platform digital seperti Facebook, TikTok dan YouTube menggambarkan fungsi radio sebagai medium yang melengkapi ekosistem digital negara.
Berikut merupan senarai 10 stesen radio paling ramai didengari di Malaysia (mengikut pendengar mingguan - RAM Wave 2 2025).
1. ERA - 5,568,000
2. Hot FM - 4,248,000
3. SINAR - 3,966,000
4. MY FM - 2,949,000
5. Suria - 2,925,000
6. HITZ - 2,505,000
7. 988 - 2,127,000
8. Radio Klasik - 1,554,000
9. THR GEGAR - 1,509,000
10. RAAGA - 1,329,000
Berdasarkan data RAM Wave 2 2025, Astro Audio terus mendominasi industri radio Malaysia merentasi pelbagai kategori Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.
1. Bahasa Melayu – Astro Audio Kekal No.1
ERA berada di kedudukan No.1 Malaysia keseluruhan dengan5.56 juta pendengar. Manakala SINAR pula di tangga tiga teratas, mengukuhkan status Astro sebagai peneraju segmen radio Melayu.
2. Bahasa Inggeris – Stesen No.1 Juga Milik Astro Audio
HITZ mencatat 2.50 juta pendengar, menjadikannya stesen radio Bahasa Inggeris No.1 di Malaysia.
3. Bahasa Cina – Stesen Cina No.1 Milik Astro Audio
MY FM berada di kedudukan No.4 keseluruhan dengan 2.95 juta pendengar, menjadikannya stesen Cina No.1 di Malaysia.
4. Bahasa Tamil – Stesen India No.1 di Malaysia
THR RAAGA berada di tempat ke-10 keseluruhan dengan 1.33 juta pendengar, menjadikannya stesen Tamil paling ramai didengari di Malaysia.
Dengan ERA (Melayu), MY FM (Cina), RAAGA (Tamil) dan HITZ (Inggeris) masing‑masing berada di kedudukan teratas dalam kategori bahasa mereka, ini membuktikan bahawa Astro Audio kekal sebagai kumpulan radio No.1 di Malaysia merentasi pelbagai bahasa Melayu, Cina, India dan Inggeris.
Senarai ini menggambarkan landskap radio Malaysia yang pelbagai dan terus berkembang, merangkumi pelbagai bahasa, genre dan demografi.