Pelakon Shasha Abedul tampil menjelaskan salah faham orang ramai yang keliru melihat penampilannya tidak berhijab dalam filem Malam Terlarang, sedangkan imej terkininya sudah berhijab.
Menurut Shasha, penggambaran filem tersebut dijalankan pada Julai 2024, sebelum dia benar-benar membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya.
Advertisement
“Jadi, penggambaran ini berlaku tahun lepas. 2024. Julai. Kami shooting sebelum Shasha berhijab.
“Masa itu saya di fasa sedang merancang. Tapi ia tak datang sekeras yang masa dah nak berhijab.
“Tapi masa itu, dah boleh rasa sikit-sikit hidayah tu,” katanya kepada Gempak.
Sebelum ini, ada segelintir peminat meninggalkan komen pada trailer Malam Terlarang kerana keliru melihat Shasha tidak berhijab, sedangkan dia kini tampil dengan imej baharu.
Pada akhir September lalu, Shasha mengejutkan peminat apabila memuat naik foto mengenakan hijab dan memadam gambar-gambar menampakkan aurat di Instagram miliknya.
Pelakon itu sebelum ini turut berkongsi bahawa perubahan imej tersebut berlaku selepas dia berasa bersalah ketika mahu memuat naik foto tidak menutup aurat di laman sosial.