Sekilas
- Datuk Mustapha Kamal terkejut dengan sambutan hangat watak ‘papa Megah Holdings’ yang masih trending di media sosial, diterima oleh golongan muda dan dewasa.
Beliau aktif melayan komen dan pertanyaan netizen, termasuk soal perniagaan, walaupun perlu mencari maklumat tambahan untuk menjawab.
Pelakon, Datuk Mustapha Kamal, tidak menyangka karakter ‘papa Megah Holdings’ yang dibawanya sebelum ini masih mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan pengguna media sosial.
Menurut Mustapha, penerimaan luar biasa itu bukan sahaja datang daripada golongan muda, malah turut mendapat sambutan dalam kalangan netizen dewasa yang menganggap Megah Holdings sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.
“Saya sendiri tidak percaya dengan penerimaan netizen. Bukan sahaja golongan muda, malah mereka yang dewasa turut sama.
“Mereka menganggap ‘Megah Holdings’ sebahagian daripada kehidupan harian sehingga terbawa-bawa dalam pergaulan.
“Sejujurnya, saya tidak pernah berniat untuk mencetuskan fenomena di Threads. Namun, apabila perkara ini berlaku, saya ikutkan sahaja.
“Saya terpaksa melayan dan membalas setiap komen kerana mereka begitu teruja,” ujarnya.
Mustapha berkata demikian ketika ditemui di majlis Tokoh Perfileman Veteran Negara sempena Festival Filem Malaysia ke-35, pada Khamis.
Malah kata Mustapha, ramai yang berseloroh mahu menjadi ‘anak’ kepada figura usahawan berjaya itu selain turut meminta nasihat berkaitan perniagaan.
“Kadang-kadang mereka bertanyakan soalan serius mengenai perniagaan. Saya sendiri perlu mencari maksud istilah berkenaan di Google supaya dapat memberikan jawapan yang tepat.
“Jadi, secara tidak langsung, ia menjadi satu tugas pula buat saya.
“Biasanya, saya akan meluangkan masa membalas pertanyaan dan melayan usikan mereka selepas selesai menunaikan solat Subuh. Itulah waktu yang saya ada untuk melayan ‘anak-anak’ saya ini,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Mustapha, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai satu masalah buat dirinya walaupun sering dikaitkan dengan karakter sama kerana baginya label ‘Megah Holdings’ itu mempunyai daya penarik tersendiri.
“Mereka tahu saya pernah membawakan pelbagai watak, cuma karakter usahawan berjaya ini yang lebih mendapat perhatian. Saya tidak kisah selagi masih mampu menghiburkan mereka,” katanya.