Sekilas
- Aisha Retno berhasrat untuk menghadiri sesi uji bakat Puteri Gunung Ledang The Musical yang dijangka dipentaskan semula pada Oktober ini.
- Dia sedar komitmen besar dalam teater muzikal memerlukan pengurusan masa dan tenaga yang rapi, terutama selepas AJL40.
- Aisha mengajak semua peminat Puteri Gunung Ledang untuk turut serta dalam sesi uji bakat dan mengakui saingan sangat sengit.
Penyanyi, Aisha Retno berhasrat mahu mencuba nasib menghadiri sesi uji bakat bagi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL) yang dijangka dipentaskan semula Oktober ini.
Menurut Aisha, impian untuk terlibat dalam produksi tersebut sudah lama terpendam sejak pertama kali menonton filem berkenaan.
Namun, Aisha juga sedar komitmen besar dalam teater muzikal memerlukan persediaan rapi, terutama dari segi pengurusan masa dan tenaga.
“Memang impian saya daripada dulu tengok Puteri Gunung Ledang dan masa saya dengar ada ura ura mahu dihasilkan kembali Oktober ini, saya pun tidak ingin melepaskan peluang.
“Tetapi saya perlukan rehat jadi saya kena pandai cari cara untuk membahagikan masa sebab untuk membuat teater muzikal bukanlah sesuatu yang mudah.
“Komitmen menyanyi live, berlakon dan benda itu dilakukan hampir setiap hari. Oktober adalah selepas AJL40, kita tengok macam mana,” jelasnya.
Aisha berkata demikian ketika ditemui selepas berakhirnya malam kedua AJL 40 Separuh Akhir (SA), di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam pada Sabtu.
Bagaimanapun kata Aisha, dia tetap bertekad untuk menghadiri sesi uji bakat yang bakal berlangsung dalam masa terdekat.
Malah dia juga mengakui bahawa peluang keemasan untuk membawakan watak dalam PGL bukan sesuatu yang mudah memandangkan ramai bakat hebat di Malaysia turut mengidamkan peluang sama.
“Tunggu saya pergi sesi uji bakat terlebih dahulu yang akan diakan pada bulan ini, tengok sama ada saya lepas atau pun tidak.
“Saya memang mahu pergi sesi uji bakat, tak salah pun kalau kita mencuba. Memang saya akui ada yang kata saya tak pandai berlakon, memang itu bukan forte saya.
“Saya pernah berlakon sebelum ini tapi mungkin belum biasa lagi, jadi harus ada beberapa perkara yang saya perlu ‘master’ terlebih dahulu sebelum masuk uji bakat.
“Saya akan cuba dan sudah tentu saingan pun akan sengit juga. Semua nak jadi Puteri dan ramai di Malaysia ini yang berbakat.
“Saya pun seru semua yang memang suka Puteri Gunung Ledang hadir ke sesi uji bakat, jangan lepaskan peluang,” ujarnya.
Terdahulu, penerbit dan pelakon terkenal Puan Sri Tiara Jacquelina memuat naik teaser 16 saat mengesahkan Enfiniti Productions bakal mementaskan semula Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical pada Oktober 2026.