Penyanyi baharu, Teeya Nasution tampil menjelaskan kekeliruan orang ramai yang menyangka dia mempunyai pertalian darah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hanya kerana menggunakan nama keluarga sama.
Advertisement
Jelas Teeya, 21, Nasution merujuk kepada marga keturunan Mandailing dari Indonesia yang digunakan oleh ramai individu sebagai tanda asal-usul.
“Sebenarnya Nasution ni nama keluarga atau keturunan Mandailing Indonesia. Biasanya dipakai sebagai marga untuk menunjukkan asal-usul kita.
“Kalau ada orang bernama Nasution, tak semestinya saya kenal. Tapi saya tahu dia juga keturunan Mandailing sama macam saya.
Bukan, bapak saya belum lagi menteri… bapak saya produser,” katanya kepada Gempak.
Pertama kali nyanyi OST filem
Dalam perkembangan lain, Teeya mengakui cukup teruja apabila diberi peluang menyanyikan lagu tema filem Abah Saya Uncle Mike berjudul 7 Huruf serta versi Mandarin Peng You.
“Sebagai penyanyi OST, ini pengalaman pertama bagi saya. Jadi memang sangat teruja. Tambah pula ayah saya sendiri yang jadi komposer dan penerbit untuk kedua-dua lagu ini.
"Di rumah memang ada studio. Jadi lepas balik sekolah ayah panggil saya rekod. Dari situ saya mula belajar,” katanya.
Walaupun pernah bersekolah di SJKC sejak tadika hingga sekolah rendah, Teeya tetap berdepan cabaran menyanyi dalam bahasa Mandarin kerana sebutannya agak sukar.
“Susah juga sebab ini kali pertama saya nyanyi lagu Mandarin. Tapi syukur ramai yang suka. Saya bangga sebab single pertama saya terus jadi OST filem besar,” ujarnya.
Filem Abah Saya Uncle Mike mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Ogos lalu.