Pelakon, Fasha Sandha tampil menjelaskan sebab dirinya menghadiri majlis resepsi pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor) pada Sabtu lalu.
Penjelasan itu dibuat selepas Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 41, menerima pelbagai mesej dan komen daripada netizen yang mempersoalkan tindakannya hadir ke majlis berkenaan.
Advertisement
Malah ada yang mengugut untuk berhenti mengikuti akaun media sosialnya.
“Ramai juga komen nak unfollow sebab saya ke majlis kahwin. Menghadiri majlis adalah wajib ya, kecuali jika uzur.
“Rasanya baik Fazura dan Fattah dua-dua sudah move on dan menemui kebahagiaan masing-masing. Mungkin ada yang belum move on, sebaiknya move on dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya.
Perkara itu dikongsikan Fasha menerusi satu hantaran di Instagram Story pada Selasa.

Dalam hantaran sama, pelakon drama Kekasih Hati Mr Bodyguard itu turut berkongsi tangkap layar mengenai hukum menghadiri jemputan majlis perkahwinan, di mana ia dikategorikan sebagai wajib selagi tiada halangan syarie, bagi menolak pandangan segelintir pihak yang mengkritiknya.
Mengulas lanjut, Fasha berkata kehadirannya juga sebagai tanda menghargai undangan baik pasangan pengantin yang menyambut mereka sekeluarga dengan penuh mesra.
“Amira dan Fattah menjemput saya sekeluarga dan melayan kami semua dengan baik. Ia majlis perkahwinan yang sangat indah, mohon kita doakan yang baik-baik untuk semua orang agar baik berbalik kepada kita.
“MasyaAllah, dia (Amira) punya level menghargai kita terlalu tinggi sampai kita pun jadi segan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila segelintir warganet meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkahwinan Fattah dan Amira sehingga mengugut mahu ‘unfollow’ akaun media sosial rakan-rakan artis yang hadir ke majlis berkenaan.
Antara selebriti yang turut menjadi sasaran termasuk Anzalna Nasir, Nabila Razali, Ernie Zakri dan Hawa Rizwana.