Sekilas
- Agnes Monica berkongsi video di Instagram untuk menafikan berita palsu yang mengatakan dia terperangkap dan menyelamatkan diri di Dubai.
- Dia menegaskan dia selamat, berada di apartmennya, dan sentiasa berjaga-jaga dalam situasi semasa di Emiriah Arab Bersatu.
- Agnes turut mendoakan mereka yang terkesan dengan serangan di UAE dan menggesa orang ramai tidak memperbesarkan keadaan dengan berita tidak tepat.
Penyanyi antarabangsa kelahiran Indonesia, Agnes Monica tampil berkongsi keadaan dirinya yang kini berada di Dubai.
Menerusi perkongsian video di Instagram, Agnes berkata dia terpanggil untuk bersuara selepas menerima banyak mesej daripada rakan terdekat yang bimbang dengan keselamatannya.
“Saya rasa saya perlu sampaikan benda ini. Biasanya saya tak suka buat begini, tetapi ramai kawan-kawan dan orang terdekat hantar mesej sebab mereka baca berita yang tidak benar.
“Jelas sekali, saya selamat di sini. Jangan percaya headline yang mengatakan saya terperangkap sementara menyelamatkan diri. Tidak, saya baik-baik sahaja. Saya berada di apartmen saya sekarang,” katanya.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu hits Tak Ada Logika itu, dia kini berada dalam keadaan baik serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kami benar-benar baik-baik sahaja. Kami sedang berusaha untuk berjaga-jaga dan sangat berhati-hati,” ujarnya.
Dalam masa sama, Agnes mengakui situasi yang berlaku adalah sesuatu yang tidak diingini dan dia turut mendoakan mereka yang benar-benar terkesan.
“Ini adalah situasi yang tidak beruntung dan saya berdoa kepada orang-orang yang sebenarnya terkena. Tapi tolong jangan buat headline yang membuat suasana semakin memanas.
“Saya rasa bersalah kepada orang yang risaukan saya. Jangan dibuat headline begitu. Saya baik-baik sahaja dan saya selamat.
“Kalau ada apa-apa, saya pasti akan jadi orang pertama yang beritahu,” katanya lagi.
Terdahulu pada Sabtu, Emiriah Arab Bersatu mengumumkan bahawa negara itu menjadi sasaran serangan Iran yang menyasarkan beberapa kawasan di negara berkenaan, khususnya ibu negara Abu Dhabi, mengakibatkan seorang penduduk terkorban.
Pada pagi Sabtu, AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran dengan mendakwa ia bertujuan menghapuskan “ancaman” yang ditimbulkan oleh “rejim” Iran. Sebagai tindak balas, Iran menyasarkan Israel dan pangkalan AS di rantau itu dengan peluru berpandu dan dron.
Israel mengisytiharkan ‘keadaan darurat khas dan serta-merta’ di seluruh negara.
Iran pula berikrar akan memberikan “tindak balas keras” terhadap pencerobohan itu dan melancarkan serangan peluru berpandu serta dron ke arah Israel dan pangkalan AS di rantau berkenaan.
Sumber: Instagram