Sekilas
- Dazrin Kamarudin menganggap rambut panjang sebagai identiti penting yang membuatkan orang mudah mengenalinya.
- Dia pernah cuba potong rambut pendek tetapi imej itu menyebabkan orang tidak mengenalinya semula.
- Walaupun masih menerima tawaran berlakon, Dazrin kini lebih fokus mengembangkan perniagaannya.
Pelakon Dazrin Kamarudin menganggap imej berambut panjang sudah sinonim dengan dirinya sejak menceburi bidang seni.
Menurut Dazrin, dia pernah memotong rambutnya menjadi pendek namun imej itu menyebabkan orang tidak mengenalinya.
“Saya memang nak ubah (rambut) sebab umur pun dah meningkat. Tapi bagi saya, rambut ini adalah identiti saya. Bukan sebab sayang sangat, tapi lebih kepada peluang peniagaan dan imej.
“Di mana kita memerlukan jenama yang ‘out spoken’, ‘loud’ dan orang kenal, imej kita kena dulu. Saya pernah potong rambut, orang lalu sebelah saya tak kenal.
“Bila rambut dah kembali panjang, barulah orang kenal. Maksudnya orang kenal saya sebab rambut… ada dua benda orang kenal saya, rambut dan suara,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai karier seni, Dazrin mengakui dia masih menerima tawaran berlakon namun kini mahu lebih fokus pada perniagaannya terlebih dahulu.
“Minat, hati dan diri saya, seorang Dazrin adalah seorang anak seni. Bagi saya, anak seni ini matlamatnya nak hiburkan orang sama ada di hadapan skrin atau di belakang.
“Saya rindu nak jadi Dazrin berada di hadapan skrin, menghiburkan orang melalui kaca TV dan tawaran pun masih ada. Cuma tanggungjawab saya lebih ke arah mengembangkan perniagaan saya.
“Tanggungjawab saya memberikan yang terbaik kepada semua orang yang datang kedai saya. Itulah tugas saya sebagai anak seni di belakang skrin,” ujarnya.