Sekilas
- Pelakon Riena Diana memuji sikap profesional dan menghormati batas Izzue Islam ketika bekerja di set penggambaran.
- Izzue menggunakan teknik sudut kamera untuk memastikan babak kelihatan realistik tanpa sentuhan fizikal dengan pelakon wanita.
- Riena menyatakan Izzue antara pelakon lelaki yang membuatkan dia selesa dan respek untuk bekerja bersama.
Pelakon, Riena Diana memuji sikap profesional rakan seperjuangannya, Izzue Islam dan menyifatkannya sebagai seorang lelaki yang menghormati batas ketika bekerja di set penggambaran.
Menurut Riena, dia sudah beberapa kali bergandingan dengan Izzue dan sepanjang bekerja bersama, pelakon itu tidak pernah menyentuhnya ketika melakonkan babak bersama.
Sebaliknya, Izzue lebih selesa menggunakan teknik sudut kamera bagi memastikan babak yang dilakonkan kelihatan realistik tanpa perlu melibatkan sentuhan fizikal.
“Dah beberapa kali shoot dengan Izzue, sememangnya tidak pernah sentuh Riena dan hanya main angle camera sahaja,” katanya.
Riena berkongsi perkara itu sebagai respon kepada satu ruangan komen pengguna Threads yang memuji sikap Izzue.

Malah dalam hantaran sama, Riena turut menyatakan Izzue merupakan antara pelakon lelaki yang membuatkan dirinya selesa untuk bekerja bersama.
“Salah seorang hero yang Riena respek dan selesa untuk bekerja. Green flag in real life juga suami kakak saya @awinnurin,” coretnya.
Terdahulu, Izzue dipuji ketika melakukan babak bersalaman dengan aktres, Dian P. Ramlee dalam drama terbaharu berjudul Suamiku Anak Mak.
Rata-ratanya memuji lakonan Izzue yang tidak bersentuhan dengan pelakon wanita dan bijak menggunakan teknik kamera ketika melakonkan babak seperti itu.
Sumber: Threads