Sekilas
- Rebecca Nur Al Islam menasihatkan ibu tunggal supaya tidak menyebarkan aib bekas pasangan demi menjaga hati dan emosi anak-anak.
- Pelakon filem Keramat ini menekankan pentingnya menyelesaikan masalah selepas perceraian dengan matang dan mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.
- Rebecca kini fokus menguatkan diri sebagai ibu tunggal kepada tujuh anak selepas berpisah dengan suami selepas 18 tahun berkahwin.
Pelakon, Rebecca Nur Al Islam memberi nasihat buat golongan ibu tunggal di luar sana untuk tidak sesekali menyebarkan aib bekas pasangan bagi menjaga hati serta emosi anak-anak.
Menerusi video yang dimuat naik @the_creative_factory_my, Rebecca berpendapat setiap permasalahan yang berlaku selepas perceraian seharusnya diurus dan diselesaikan dengan cara yang matang.
“Untuk wanita di luar sana, yang paling penting jangan pernah bercerita mengenai aib bekas pasangan masing-masing.
“Bagaimana untuk kita menyelesaikan masalah, kita kena pandang muka anak-anak sebab bila awak mengata pasangan, awak akan mengata diri anak-anak sebenarnya,” kongsinya.
Tambah pelakon filem Keramat ini, fokus utamanya ketika ini ialah untuk memastikan kestabilan tunuh anaknya stabil selepas perpisahannya bersama bekas suami.
“Seperti yang anda semua tahu, saya baru menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal kepada tujuh cahaya mata dan perlu membiasakan diri.
“Allah bagi kita sesuatu benda yang tanggungjawabnya lagi besar. Kita tak boleh pentingkan diri sendiri.
“Apabila berlakunya perpisahan antara saya dengan bekas suami, saya kena kuatkan diri saya,” katanya.
Bercerita mengenai hubungannya bersama bekas suami, Rebecca memaklumkan mereka masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.
“Kita cuba yang terbaik sebagai keluarga. Bapa (bekas suami) mereka pun masih okey dengan anak-anak.
“Alhamdulillah okey saja, ayah mereka takkan saya nak halang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rebecca berharap agar dirinya kuat dan dapat menjadi ibu yang terbaik buat anak-anaknya.
“Anda kena ingat, anda bercerai dan mempunyai anak. Allah itu Maha Kaya. Saya percaya sepenuhnya kepada Allah.
“Saya percaya yang Allah akan beri benda yang baik untuk kita,” katanya lagi.
Untuk rekod, Rebecca dan suaminya iaitu Datuk Nur Azman Sulaiman berpisah selepas 18 tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai enam cahaya mata serta seorang anak angkat berusia 16 tahun.
Sumber: Instagram