Sekilas
- Datuk Remy Ishak terhibur dengan ragam peminat yang sering memberikan alasan berkaitan keluarga apabila ingin bergambar dengannya.
- Remy berharap peminat tidak lagi menggunakan alasan tersebut dan terus jujur menyatakan mereka peminat jika mahu bergambar.
- Pelakon itu berseloroh tidak akan melayan permintaan bergambar jika alasan melibatkan orang yang tiada di sekeliling digunakan lagi.
Pelakon Datuk Remy Ishak terhibur dengan ragam peminat, terutama sekali ketika mereka meminta untuk bergambar bersama.
Menerusi perkongsian di TikTok, Remy berkata ramai peminat yang ditemuinya gemar memberikan alasan berkaitan keluarga apabila ingin bergambar dengannya.
“‘Pak cik saya minat abang Remy, dia suruh saya ambil gambar’, ‘abang Remy, mak cik saya suka abang dia suruh ambil gambar. Abang Remy mak saya minat dengan abang Remy, dia suruh ambil gambar’.
“Aduh, apa benda? Saya tak marah tapi cuma nak tanya kalian yang ambil gambar dan bagi alasan-alasan seperti itu kenapa ya? Segan ke?” katanya.
Pelakon berusia 43 tahun itu bagaimanapun berharap orang ramai tidak lagi memberikan alasan sedemikian jika ingin mengambil gambar bersamanya.
Remy turut berseloroh dengan mengatakan dia tidak akan melayan permintaan peminat yang menggunakan alasan seperti itu.
“Kenapa setiap kali saya keluar dan jumpa perkara-perkara seperti itu. Kenapa kalian tidak terus je cakap, ‘abang Remy saya peminat dan nak ambil gambar’.
“Kenapa tidak cakap begitu, kenapa kena babitkan orang yang tiada di sekeliling? Kenapa babitkan saudara mara? Selepas ini, sesiapa jumpa saya cakap macam itu saya sudah tidak mahu ambil gambar.
“Memang saya tidak layan, kalau mereka yang minat biar mereka jumpa saya. Kalau mereka tidak jumpa saya, tiada gambar,” katanya sambil ketawa.
Saya tak marah tau, tapi cuma nak tanya la, korang yg amik gambar & bagi alasan2 mcm tu kenapa ye? Korang segan ke? 😂😂