Sekilas
- Kamal Adli mengakui 2025 adalah tahun paling berat dalam hidupnya walaupun kerjaya seni terus berkembang dengan tawaran kerja yang banyak.
- Pelakon itu berkongsi bahawa walaupun rezeki ada, dia rasa kosong dan terpaksa melalui tempoh sukar seorang diri di rumah.
- Kamal diumumkan sebagai duta raya Jakel 2026 bersama Que Haidar dan Elly Mazlein, sementara rumah tangganya berdepan kemelut selepas isteri memfailkan permohonan cerai.
Walaupun kerjaya seninya terus subur dengan pelbagai tawaran, pelakon Kamal Adli mengakui 2025 bukanlah tahun kegemilangan seperti disangka ramai. Sebaliknya, ia menjadi antara tahun paling berat dalam hidupnya.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata limpahan rezeki yang diterima sedikit sebanyak mengurangkan tekanan, namun tidak mampu menutup kekosongan yang dirasai dalam diri.
“Ramai ingat tahun ni tahun saya. Tahun depan pun konon tahun saya juga. Tapi jujur, bukan. Tahun ni sebenarnya tahun Abang Jamil (Que Haidar). Saya cuma menumpang.
“Alhamdulillah, cuma tahun ini tahun duka saya sebenarnya. Tahun berat untuk saya. Saya terus bekerja tanpa henti. Dalam saya melalui tempoh sukar, Allah bagi juga sedikit rezeki untuk buat saya senyum.
“Tapi saya tetap perlu teruskan. Saya seorang-seorang di rumah, itu yang buat semuanya terasa berat,” katanya kepada Gempak.
Kamal berkata ada aspek peribadi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum, namun memadai untuk menggambarkan bagaimana hari-harinya kini tidak semudah yang disangkakan.
“Susah sebenarnya sebab saya seorang. Saya seorang kat rumah dan perkara itu tak seronok.
“Kalau tak shooting, saya rasa habislah saya kat rumah tu. Mungkin saya akan mula melukis gambar kat dinding ke, tiba-tiba belajar memasak ke.
“Ada benda orang tak tahu dan saya tak perlu kongsi. Memang susah sebenarnya. Walaupun rezeki masuk, jiwa tetap kosong. Ini soal hati,” ujarnya ketika ditemui pada Meet and Greet duta Jakel 2026.
Dalam perkembangan lain, Kamal diumumkan sebagai salah seorang duta raya Jakel untuk tahun 2026 bersama rakan artis Que Haidar dan Elly Mazlein.
Sebelum ini, rumah tangganya berdepan kemelut apabila isterinya, Uqasha Senrose memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman. Pasangan itu berkahwin pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 19 bulan.