Sekilas
- Rieffa, peserta Big Stage Rocketfuel, kecewa dengan komen hinaan netizen terhadap ibunya dan meminta orang ramai tidak menghakimi keluarganya tanpa tahu cerita sebenar.
- Rieffa menegaskan dia tidak akan berdiam diri jika sesuatu buruk berlaku kepada ibunya akibat kecaman yang diterima.
- Rieffa merupakan peserta pertama yang tersingkir dalam konsert bertemakan Love Tune dan menunjukkan reaksi sebak ketika diumumkan.
Bintang Big Stage Rocketfuel (BSR), Rieffa meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa terdapat segelintir netizen yang mengeluarkan komen berbaur hinaan terhadap ibunya.
Menerusi satu hantaran di Threads, Rieffa memohon agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menghakimi keluarganya tanpa mengetahui apa yang telah mereka lalui.
"Jika korang tak pernah berada dalam tapak kasut kami sekeluarga, better diam je. Nak cakap tentang mama saya jangan sampai menghina.
"Orang yang lama follow mama saya dari dulu tahulah mama saya macam mana," tulisnya.
Dalam hantaran sama, penyanyi berusia 18 tahun itu turut menegaskan dia tidak akan berdiam diri sekiranya perkara buruk berlaku kepada insan tersayang akibat kecaman yang diterima.
"If apa-apa terjadi dekat my mom, awak saya cari. Tak marah, tapi sayang," tambahnya.
Terdahulu, Rieffa atau nama sebenarnya Muhamad Alif Abdullah menjadi peserta pertama yang tersingkir daripada Big Stage Rocketfuel pada konsert bertemakan Love Tune.
Ketika namanya diumumkan, Rieffa dilihat gagal menahan sebak sehingga hampir rebah di atas pentas sebelum ditenangkan oleh rakan-rakan peserta serta hos, Nabil Ahmad.