Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akui terkejut melihat sambutan yang diterimannya semasa festival muzik Indonesia, Pesta Pora 2025.
Advertisement
Kata pelantun lagu Kurik Kundi itu, dia sangat merindukan peminatnya di Indonesia kerana sudah lama tidak membuat persembahan negara republik itu.
“Saya sangat rindukan peminat kerana sudah lama tidak hadir membuat persembahan di sini. Terima kasih memberikan semangat luar biasa hari ini. Terima kasih juga kepada penganjur kerana mengundang saya.
“Mungkin ada di antara kalian yang dengar lagu saya sejak kecil kerana diperkenalkan oleh ibu bapa. Jadi hari ini saya mahu kembalikan semula lagu popular saya untuk dinyanyikan bersama," katanya kepada peminat yang hadir.
Dalam pada itu, Siti juga memberi bayangan bakal mengadakan konsert khas di Indonesia.
Dalam persembahan berdurasi satu jam itu, Siti menyanyikan 11 lagu, termasuk karya yang melonjakkan namanya di pasaran muzik Indonesia, Betapa Aku Cinta Padamu.
Selain itu, beliau turut mempersembahkan lagu-lagu hit seperti Cindai, Nirmala, Bukan Cinta Biasa (duet bersama Afgan), Biarlah Rahsia serta lagu terbarunya, Menamakanmu Cinta.
Untuk rekod, kali terakhir Siti membuat persembahan di Indonesia adalah pada 2019 menerusi Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour di Istora Senayan.