Sekilas
- Kerajaan memperuntukkan RM15 juta melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) untuk sokong penggiat seni dan kreatif tempatan termasuk bakat baharu dan artis veteran.
- DKK menawarkan enam kategori dana termasuk Dana FAME untuk pembikin filem muda dan Dana STAR untuk artis veteran, serta fokus pada kandungan digital seperti mikro drama OTT.
- Permohonan dana boleh dibuat secara dalam talian mulai 16 November 2026, manakala Anugerah Seri Angkasa 2026 menampilkan 60 kategori dan pengenalan semula kategori Pengulas Radio Terbaik.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri seni dan kreatif tempatan, termasuk bakat baharu serta artis veteran.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu merangkumi enam kategori yang diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan kandungan kreatif negara.
Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pembikin filem muda untuk mengetengahkan bakat, malah turut membuka peluang kepada artis veteran untuk terus aktif dalam industri.
“Dana tersebut bertujuan membuka peluang lebih luas kepada bakat muda menerusi kategori seperti Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) selain memberi ruang kepada artis veteran melalui Dana Super Telefilem Artis Veteran (STAR).
“Kita juga mahu menggalakkan penghasilan kandungan baharu yang memenuhi keperluan pasaran digital masa kini, seperti mikro drama untuk platform OTT,” katanya.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media sempena malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) di Putrajaya, Sabtu.
Enam kategori yang ditawarkan menerusi DKK ialah Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi, Dana FAME, Dana Co-Pro Program TV Super Telefilem, Dana Co-Pro Mikro Drama Stesen Penyiar/Platform OTT, Dana STAR dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.
Bagi penggiat industri yang berminat, permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) bermula 16 November 2026.
Dalam perkembangan sama, Fahmi turut menyentuh kepentingan Anugerah Seri Angkasa sebagai platform pengiktirafan terhadap sumbangan warga industri penyiaran, sama ada yang berada di hadapan mahupun di belakang tabir.
Jelasnya, penganjuran anugerah berkenaan setiap dua tahun turut memberi ruang kepada kementerian untuk menilai perkembangan industri serta memastikan kategori yang dipertandingkan terus relevan.
“ASA diadakan dua tahun sekali, jadi sudah pasti banyak perkembangan dalam industri sepanjang tempoh tersebut.
“Seperti dana mikro drama yang diumumkan tadi, kita percaya bentuk hiburan baharu ini mungkin akan diambil kira dalam kategori ASA akan datang.
“Kementerian akan menilai semula setiap aspek teknikal dan kategori selepas edisi kali ini bagi memastikan anugerah berkenaan kekal relevan dalam memperkukuh identiti ekonomi kreatif negara,” katanya.
Untuk rekod, ASA 2026 yang memasuki edisi ke-37 mempertandingkan sebanyak 60 kategori termasuk dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.
Penganjuran kali ini turut menyaksikan kategori Pengulas Radio Terbaik diperkenalkan semula.