Sekilas
- Cik Lan lancar muzik video lagu raya terbaharu berjudul Alamak Terlepas Bus Raya yang ceria dan rancak, khas untuk generasi muda.
- Lagu ini dihasilkan bersama komposer Akie Theflow dan diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Cik Lan terlepas bas sebelum raya.
- Cik Lan juga tampil dengan lagu raya kedua, Sassuey Raya, duet bersama Ifa Raziah di bawah label Impact Music Entertainment.
Pengacara dan penyanyi Roslan Shah, atau lebih dikenali sebagai Cik Lan, tampil memeriahkan suasana Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran muzik video lagu raya terbaharunya berjudul Alamak Terlepas Bus Raya.
Lagu tersebut hadir dengan konsep ceria dan rancak, sesuai dengan semangat perayaan, selain menyasarkan generasi muda yang selama ini menjadi antara penyokong setianya.
Menurut Cik Lan, muzik video berkenaan telah dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube MBK Film Studio pada Sabtu, 7 Mac 2026.
“Alhamdulillah, muzik video Alamak Terlepas Bus Raya sudah ditayangkan hari ini di YouTube MBK Film Studio. Ini kali pertama saya buat lagu raya yang lengkap dengan muzik video. Sebelum ini tak pernah buat lagi,” katanya.
Lagu tersebut merupakan hasil ciptaan komposer Akie Theflow, manakala liriknya ditulis bersama oleh Akie dan Cik Lan sendiri.
Cik Lan mengakui idea menghasilkan lagu raya ini pada awalnya sekadar percubaan, namun dia berharap karya tersebut mampu menghiburkan peminat.
“Lagu ini sebenarnya sekadar mencuba saja. Kita tak tahu kalau ada rezeki dan peminat suka.
"Sebenarnya saya hadiahkan lagu ini kepada Gen Z yang selama ini menyokong saya, sebab itu saya pilih konsep lagu yang rancak,” katanya lagi.
Muzik video lagu tersebut turut mendapat sokongan penajaan daripada syarikat kereta dari Singapura, NJ Cardealers.
Penggambaran dilakukan di Perkampungan Klang, Selangor dan berjaya disiapkan hanya dalam tempoh sehari walaupun berlangsung ketika bulan Ramadan.
Bagi menjadikan muzik video itu lebih meriah, Cik Lan turut mendapatkan khidmat penari profesional dari Kuala Lumpur.
Projek tersebut diterbitkan dan dipasarkan oleh Ali Najib, yang turut menyumbang idea kreatif, manakala pengarahan muzik video dikendalikan oleh Fazly dengan kerjasama pihak penaja termasuk Ramadan dari NJ Cardealers.
Dalam masa yang sama, Cik Lan turut menampilkan penyanyi Yassin Yahya dalam projek lagu raya kali ini selepas merasakan keserasian mereka sebelum ini.
“Saya tawarkan Yassin Yahya untuk projek lagu raya 2026 ini sebab rasa serasi. Sebelum ini Yassin pernah sertai program Night Walk bersama saya dan saya lihat dia sangat komited, profesional serta mudah bekerjasama,” katanya.
Berkongsi mengenai proses rakaman, Cik Lan berkata sesi rakaman vokal lagu tersebut dilakukan di sebuah studio di Kuala Lumpur beberapa hari sebelum Ramadan dan mengambil masa kira kira lima jam untuk disiapkan.
Menariknya, lagu Alamak Terlepas Bus Raya turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Cik Lan kira kira dua dekad lalu.
“Cerita lagu ini datang daripada pengalaman saya sendiri. Dulu saya pernah terlepas bas ketika nak balik Singapura sebab jem teruk di Kuala Lumpur pada bulan puasa, lebih kurang tiga hari sebelum raya. Itu kenangan yang saya tak boleh lupa,” katanya.
Daripada pengalaman tersebut, Cik Lan bersama Akie Theflow akhirnya menghasilkan lirik yang membentuk jalan cerita lagu raya tersebut.
Selain Alamak Terlepas Bus Raya, Cik Lan juga tampil dengan sebuah lagi lagu raya berjudul Sassuey Raya yang merupakan lagu duet bersama Ifa Raziah di bawah label Impact Music Entertainment.
Lagu tersebut dicipta oleh Ady 6ixth Sense, manakala liriknya ditulis oleh Emma Rocker.