Sekilas
- Pada Jun lalu, penyanyi Rossa berkongsi berita dia mengambil seorang kanak-kanak perempuan sebagai anak angkat sejak bayi.
- Rossa menamakan anak angkatnya Raina Mikayla Almheira dengan maksud yang penuh makna dan memilih untuk berkongsi berita itu selepas Raina mula faham dunia seni ibunya.
- Rossa menganggap kehadiran Raina sebagai takdir dan jodoh dari Allah, tanpa mendedahkan latar belakang lanjut tentang proses pengambilan anak angkat tersebut.
Pada Jun lalu, penyanyi Rossa mengejutkan peminat dengan berkongsi foto dirinya bersama seorang kanak-kanak perempuan yang diumumkan sebagai anak angkatnya.
Sejak perkongsian yang dibuat di Instagram peribadinya itu, ramai ingin mengetahui lebih lanjut tentang cerita di sebalik keputusan penyanyi Tegar itu menambah ahli baharu dalam keluarga kecilnya.
Tanpa berselindung, Rossa memberitahu sudah mengambil kanak-kanak perempuan tersebut sejak bayi. Namun, Rossa memberitahu baru berkongsi berita itu kepada umum kerana mahu memberi ruang buat anak kecil itu memahami dunia pekerjaannya yang penuh glamor.
“Namanya Raina Mikayla Almheira. Baru sebulan yang lalu saya memperkenalkan Raina. Sebelum ini memang banyak perkara yang saya fikirkan secara peribadi.
"Sekarang dia sudah semakin faham yang ibunya seorang anak seni. Dia sudah kenal pentas dan suasana seperti itu, jadi sedikit demi sedikit dia semakin bersedia," ujar Rossa seperti dilaporkan Kompas.
Namun Rossa memilih untuk tidak memperincikan tentang proses dan latar belakang Raina. Ibu kepada Rizky Langit Ramadhan itu sebaliknya menyifatkan kehadiran Raina dalam hidup mereka sebagai takdir dan jodoh dari Allah.
"Saya tak boleh bercerita secara terperinci. Apa yang boleh saya katakan, dia sudah bersama saya sejak masih bayi lagi.
"Saya rasa seperti kami memang sudah ditakdirkan untuk bersama. Jodoh itu bukan hanya pasangan hidup, tetapi boleh hadir dalam pelbagai bentuk, termasuklah anak. Allah sudah menemukan kami. Mungkin Allah kata, pasangan hidup nanti dulu, ini dulu ya," katanya sambil ketawa.
Dalam masa sama, Rossa turut berkongsi maksud di sebalik nama penuh puteri angkatnya itu yang dipilih dengan penuh makna.
"Raina membawa maksud wanita yang cantik dan bijak. Nama itu juga bermula dengan huruf 'R', sama seperti Rossa dan Rizky. Mikayla pula bermaksud pemberian atau anugerah daripada Allah, manakala Almheira membawa maksud agung, bijaksana dan bertuah," jelasnya.
Untuk rekod, Rossa pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain dram kumpulan Padi, Yoyo, pada Mac 2004. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki sebelum bercerai pada tahun 2009.