Sekilas
- Datuk Rosyam Noor marah selepas gambar beliau digunakan tanpa kebenaran untuk promosi alat bengkel oleh sebuah syarikat.
- Rosyam akan bertemu pihak syarikat tersebut pada 14 Februari dan kini dilantik sebagai rakan kongsi mereka.
- Rakaman suara tular menunjukkan Rosyam menengking pelatih industri, yang didakwa menyebabkan tekanan dan anxiety kepada pelatih tersebut.
Tular rakaman suara dipercayai pelakon Datuk Rosyam Nor didakwa sedang menengking pelatih industri yang menggunakan fotonya tanpa kebenaran untuk mempromosikan alat bengkel sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen baru-baru ini.
Mengakui berasa berang terhadap tindakan individu tersebut, pelakon berusia 59 tahun itu menegaskan dia akan bertemu dengan pihak syarikat perniagaan alat bengkel.
“Tunggu 14 Februari saya akan ‘serang’ mereka. Mereka akan menghadap saya nanti.
“Sebenarnya mereka ada buat bisnes, bila ada motosikal rosak mereka akan baiki. Jadi pihak mereka gunakan gambar saya tanpa izin.
“Saya jadi marahlah. Rupa-rupanya mereka memang nak jumpa dan lantik saya sebagai rakan kongsi,” katanya kepada Gempak.
Rosyam ditemui ketika majlis memperkenalkan duta Acgas yang diadakan di Roofino Skydining, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun Rosyam menafikan perkara itu merupakan strategik pemasaran daripada pihaknya namun tetap bersyukur apabila diberi rezeki untuk menjadi rakan kongsi mereka.
“Mereka yang buat marketing tetapi saya bernasib baik dapat rezeki dilantik sebagai rakan kongsi. Bila saya ‘hentak’, kini saya sudah menjadi partner mereka.
Namun apa yang tular itu memang betul saya marah,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah rakaman suara di TikTok mendedahkan Rosyam didakwa berkelaluan kasar terhadap seorang pelatih industri.
Situasi menjadi kecoh apabila Rosyam didakwa bertindak menengking dan memarahi pelatih industri berkenaan.
Rentetan itu, tindakan Rosyam didakwa telah menyebabkan tekanan melampau terhadap pelatih industri tersebut sehingga dia mengalami 'anxiety'.