Skip to main content

Hiburan

Rozita Che Wan Pesan Jangan Buka Ruang Untuk Curang - “Tumpangkan Kereta Pun Boleh Jadi Punca”

Rozita Che Wan

Sekilas

  • Rozita Che Wan atau Che Ta berkongsi pandangannya bahawa kecurangan dalam rumah tangga adalah satu pilihan dan boleh berlaku bila diberi ruang oleh pasangan.
  • Che Ta menasihati supaya elakkan situasi yang boleh membawa kepada kecurangan seperti terlalu rapat dengan orang lain dan memberi ruang kepada orang ketiga.
  • Che Ta juga bakal muncul dalam filem terbaru berjudul Anak Mami Jarum - Dalca Cinta Kerabu bersama pelakon hebat lain seperti Saiful Apek dan Sheila Mambo.

Pelakon, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta memberikan pendapatnya terhadap isu curang dalam rumah tangga yang dilihat semakin merisaukan sejak kebelakangan ini.

Menurut pemilik nama Rozita Abu Bakar ini, kecurangan ini bukanlah perkara yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya, ia bermula dan berpunca daripada tindakan dan pilihan seseorang itu sendiri.

“Curang ini adalah satu pilihan sebenarnya dan dia ada dekat mana-mana. Tak perlu nak cari ke apa sebab dia (curang) boleh berlaku dengan sendiri.

“Macam contoh, seseorang itu boleh curang dengan sesiapa sahaja seperti kawan kepada isteri dan kawan tempat kerja.

“Curang ini juga boleh bermula daripada tindakan kau yang hanya tumpangkan seseorang itu ke satu tempat. Itu pun sebenarnya dah boleh jadi menggoda dah,” katanya kepada Gempak.

Che Ta berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sesi penggambaran filem Anak Mami Jarum - Dalca Cinta Kerabu pada Selasa.

Dalam pada itu, pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh ini berpendapat bahawa kecurangan juga berlaku apabila adanya ruang yang diberikan kepada orang ketiga.

Ujarnya, apabila ruang itu diberikan, maka ia meningkatkan lagi risiko untuk berlaku curang dalam rumah tangganya.

Justeru, ibu kepada tiga orang ini menasihati orang ramai untuk sentiasa berjaga-jaga dan mengelakkan diri dari sebarang situasi yang boleh membawa kepada kehancuran rumah tangganya.

“Korang kena elakkan daripada berlaku benda-benda macam ni. Kita kena selalu fikir yang sesuatu perkara itu boleh mendatangkan fitnah.

“Jadi jangan mulakan kecurangan ini. Janganlah cakap, ‘Eh tak adalah kita kawan biasa je’.  Jangan bagi ruang sebab curang ini puncanya ialah sebab bagi ruang.

“Mula-mula memang keluar makan, lepas itu luah perasaan tapi hujung-hujung? Perasaan kau yang terluah dekat dia. Jadi, apa-apa pun, korang memang kena ‘avoid’,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Che Ta bakal tampil menerusi filem terbaharu arahan pengarah tersohor, Datuk Professor Dr. Abdul Razak Mohaideen yang berjudul Anak Mami Jarum - Dalca Cinta Kerabu.

Selain Che Ta, filem ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Saiful Apek, Sabri Yunus, Sheila Mambo serta beberapa pempengaruh yang dipilih memalui proses casting.

Must-Watch Video

Advertisement