Sekilas
- Kediaman Chris Hemsworth dan Elsa Pataky di Broken Head, New South Wales, diceroboh oleh empat lelaki bertopeng yang melarikan tiga kenderaan milik pasangan selebriti itu.
- Elsa Pataky terdengar anjing peliharaan menyalak pada waktu kejadian, namun baru menyedari pecah masuk selepas memeriksa rakaman kamera keselamatan keesokan harinya.
- Polis mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dan ketiga-tiga kenderaan berjaya ditemui semula beberapa jam selepas kejadian, manakala siasatan masih diteruskan.
Kediaman pasangan selebriti Hollywood, Chris Hemsworth dan Elsa Pataky di Australia dilaporkan menjadi sasaran sekumpulan penceroboh bertopeng yang melarikan tiga buah kenderaan milik pasangan berkenaan.
Menurut laporan 7News, kejadian pecah masuk itu berlaku di kediaman mewah pelakon filem Thor berkenaan yang terletak di Broken Head, selatan Byron Bay, New South Wales, pada awal 11 November lalu.
Ketika kejadian, Pataky dilaporkan berada di rumah. Model kelahiran Sepanyol berusia 50 tahun itu dikatakan terjaga sekitar jam 2 pagi selepas terdengar anjing peliharaan mereka menyalak.
Bagaimanapun, pelakon drama Tidelands itu kembali tidur sebelum menyedari kejadian berkenaan selepas memeriksa rakaman kamera keselamatan kediamannya pada keesokan pagi.
Rakaman tersebut dipercayai menunjukkan empat lelaki menceroboh kawasan kediaman berkenaan dengan memakai penutup muka (balaclava). Dua daripada mereka turut dilihat dipercayai membawa pisau.
“Pegawai polis hadir ke lokasi dan dimaklumkan empat individu tidak dikenali telah memasuki kawasan kediaman berkenaan sebelum melarikan tiga kenderaan pada hari sama.
“Tiada kecederaan dilaporkan,” menurut kenyataan polis seperti dipetik 7News.
Laporan itu turut menyebut kumpulan terbabit dipercayai memanjat pagar hadapan kediaman sebelum memasuki garaj dan melarikan tiga kenderaan yang ditinggalkan bersama kunci di dalamnya.
Kenderaan yang dicuri terdiri daripada sebuah BYD, sebuah trak pikap Ram dan sebuah Ford Raptor.
Bagaimanapun, pihak polis mengesahkan ketiga-tiga kenderaan berkenaan berjaya ditemukan semula beberapa jam kemudian di lokasi yang terletak jauh dari kediaman pasangan itu.
Siasatan berhubung kejadian masih diteruskan.
Hemsworth, 43, dan Pataky mendirikan rumah tangga pada 2010 sebelum mengambil keputusan meninggalkan kehidupan di Hollywood pada 2015 untuk menetap di Australia, negara kelahiran bintang Marvel itu.
Keputusan tersebut diambil demi membesarkan anak-anak mereka dalam suasana kehidupan lebih privasi. Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu seorang anak perempuan, India, 14, serta pasangan kembar lelaki, Sasha dan Tristan, 12.