Sekilas
- Datuk Yusry Abdul Halim rasa rindu sangat dengan isteri, Datin Lisa Surihani, yang menunaikan ibadah haji di Makkah.
- Yusry terharu dengan kejutan di radio ERA yang buat dia sebak dan teringatkan keluarga walaupun anak-anak ada di rumah.
- Lisa berangkat ke Tanah Suci sejak 7 Mei seorang diri selepas rayuan visa Yusry gagal, dan mereka rancang kejutan untuk sambut kepulangan Lisa nanti.
Pelakon dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim tidak menyangka akan dilanda perasaan rindu yang begitu mendalam sepanjang berjauhan dengan isteri tercinta, Datin Lisa Surihani yang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah.
Menurut Yusry, momen kejutan yang diterimanya ketika di radio ERA sebelum ini benar-benar menyentuh hati sehingga membuatkan dia gagal menahan sebak.
“Kerinduan itu kadang-kadang kita tak sangka, dan saya tak sangka dengan kejutan itu. Bukan sengaja saya nak sebak atau mengada-ngada dan itulah yang saya nak anak-anak rasa pada hari ini,” katanya kepada Gempak.
Tambah Yusry, sepanjang ketiadaan Lisa suasana di rumah begitu berbeza meskipun anak-anak ada disisinya.
“Rumah tidak sama tanpa dia, bila balik rumah tu mestilah anak-anak ada tapi rasa lain tanpa kehadiran dia,” kata Yusry.
Terdahulu, Yusry Abd Halim meluahkan rasa syukur apabila dapat bersatu kembali bersama isterinya, Lisa Surihani.
Menurut Yusry, dia dan isteri telah merancang kejutan istimewa buat anak-anak untuk menyambut kepulangan ibunya yang menunaikan ibadah haji.
Lisa selamat berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan rukun Islam kelima musim haji tahun ini pada 7 Mei lalu.
Bagaimanapun, Lisa menunaikan ibadah tersebut seorang diri tanpa ditemani Yusry kerana kegagalan rayuan visanya.